Input your search keywords and press Enter.

TPM Tiba Di Brunei

M Update, 26/2/2019 – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Bandar Seri Begawan, Brunei untuk lawatan rasmi selama dua hari.

Pesawat khas Tentera Udara Diraja Malaysia, RMF 426, yang dinaiki Dr Wan Azizah mendarat jam 10.53 pagi dan beliau diiringi Timbalan Menteri Luar, Senator Datuk Marzuki Yahya.

Ketibaan Timbalan Perdana Menteri disambut oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri serta Menteri Kewangan dan Ekonomi II Brunei, Datuk Seri Dr Awang Amin Liew Abdullah; Menteri Hal Ehwal Luar Negeri II Brunei, Datuk Seri Setia Awang Erywan Pehin Datu Pekerma Jaya Mohd Yusof dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei, Ismail Salam.

Lawatan Dr Wan Azizah ke Brunei adalah siri lawatan pengenalan beliau ke negara anggota Asean ini selepas dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia pada Mei tahun lalu.

Hari ini, Wan Azizah akan menghadap Sultan Brunei, Sultan Haji Hassanal Bolkiah, dan disusuli menghadap isteri Sultan Brunei, Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha.

Beliau kemudian akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan Brunei yang juga menteri bertanggungjawab di Jabatan Pembangunan Masyarakat, Mej Jen (B) Datuk Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan Abidin.

Ini diikuti sesi perjumpaan dengan rakyat Malaysia yang tinggal di Brunei Darussalam di sebuah hotel di sini.

Esok, Wan Azizah akan menghadiri sesi perbincangan meja bulat dengan 40 pemain industri dan wakil perniagaan Brunei.

Ini disusuli lawatan ke Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan Brunei sebelum menghadap Putera Mahkota Brunei Darussalam, yang juga Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah.

Lawatan Dr Wan Azizah seterusnya ialah ke Pusat Bahagia Brunei, yang juga sebuah pusat dan kelas jagaan anak kurang upaya, sebelum beliau berlepas pulang ke Kuala Lumpur pada petang esok.

Sumber : Bernama

Leave a Reply