Input your search keywords and press Enter.

Pemandu E-Hailing Burukkan Islam, Malaysia Kepada Pelancong

M Update, 05/06/2024 – Seorang pemandu e-hailing dikecam pengguna media sosial kerana didakwa memburukkan agama Islam dan Malaysia kepada dua pelancong dari England baru-baru ini.

Berdasarkan video tular yang berdurasi lebih dua minit, lelaki bernama Henry itu mendakwa tidak adil baginya kerana rakyat agama lain diminta untuk mengikut peraturan-peraturan agama Islam. Katanya, dalam video yang dirakam oleh pelancong asing tersebut, negara ini dianggap tidak mempunyai hiburan seolah-olah seperti menetap di dalam hutan.

“Mereka minta untuk kita ikut agama dia, itu tidak adilkan? Mereka tidak minum, jadi mereka haramkan semua minuman keras.

“Tiada hiburan seolah-olah seperti duduk di dalam gua dan hutan,” katanya kepada warga asing yang merakam video sejurus menaiki keretanya.

Pemandu e-hailing itu turut mencadangkan pelancong berkenaan untuk mengambil visa dan terus bercuti di Thailand kerana ada pelbagai hiburan.

“Awak pergi Pulau Pinang, selepas itu boleh ke Langkawi, Kedah. Selepas ke Langkawi, boleh ambil visa dan pergi ke Thailand,” tambah pemandu e-hailing itu.

Bagaimanapun, pelancong berkenaan memaklumkan kepada Henry bahawa mereka pernah ke Thailand 10 tahun lalu.

Video tersebut turut mendapat perhatian rakyat Malaysia yang tidak berpuas hati kerana perbuatan Henry memburukkan negara dan agama Islam. – Sinar Harian