Input your search keywords and press Enter.

Pengharaman sisa plastik import kekal

M-Update,6/3/2019, SHAH ALAM: Kerajaan komited meneruskan pengharaman sisa plastik import yang berkuat kuasa Julai tahun lalu. Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad, berkata pihaknya tidak bercadang menarik semula penguatkuasaan terbabit. “Kita ingin pastikan apa saja sisa plastik yang diterima di negara ini adalah dalam spesifikasi dan piawaian ditetapkan.

“Ini bagi memastikan kita mendapat manfaat penuh daripada industri dan tidak digunakan sebagai tempat lambakan pembuangan sisa plastik.“Pada masa depan, kita mungkin menghapuskan keseluruhan sisa plastik berkualiti rendah yang diimport dan hanya menerima plastik berkualiti tinggi. “Plastik ini dikawal dan kita akan memastikan industri sentiasa mematuhi garis panduan ditetapkan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pameran RONAisme (Gaya NAIVE Malaysia) di Galeri Shah Alam petang tadi.

Beliau ditanya berhubung isu sisa import plastik dari negara maju seperti Australia, New Zealand, United Kingdom ke China sebelum diharamkan dan kemudian dihantar ke Malaysia tahun lalu.Raja Kamarul Bahrin Shah berkata, Malaysia adalah negara kecil dan tidak mampu menerima sisa plastik import. “Jika China pun tidak mampu menangani sisa plastik, maka kita juga perlu menutup pintu supaya sisa plastik haram tidak diterima di negara ini,” katanya.

Beliau berkata, kementerian sudah mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara mengenal pasti kilang haram yang mengitar semula plastik.Katanya, kilang haram yang ditutup melalui operasi besar-besaran sebelum ini berkemungkinan beroperasi semula.“Kita sudah memberi taklimat perkara ini dan mahu PBT peka dengan masalah ini.

“Ia adalah perniagaan lumayan dan pengendali serta mencari cara melakukan apa sahaja untuk beroperasi semula.“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kilang plastik haram diminta menyalurkannya supaya tindakan sewajarnya boleh diambil,” katanya.

–BHarian

Leave a Reply