Input your search keywords and press Enter.

SKMM pantau akaun media sosial sebar video serangan maut

M Update, 20/3/2019 – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan menutup akaun media sosial melanggar terma perkhidmatan berhubung penularan video penstriman serangan maut di Masjid Al Noor, Christchurch, Jumaat lalu.

SKMM dalam satu kenyataan media, hari ini, memaklumkan sudah menghubungi pengendali platform media sosial untuk memadamkan video versi penuh dan versi diedit yang dimuat naik dalam platform mereka.

Pengguna media sosial juga digesa melaporkan secara terus kandungan tidak sesuai supaya akaun melanggar terma perkhidmatan boleh ditutup. Selain mengeluarkan kenyataan bagi menasihatkan orang awam tidak berkongsi video berkenaan, peringatan turut dikeluarkan kepada semua stesen televisyen.

Netizen juga digalakkan sentiasa mengawal selia media sosial masing-masing dan peka terhadap kandungan yang mereka kongsi secara dalam talian, sama ada melalui aplikasi WhatsApp atau rakaman video di internet. Tindakan susulan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 akan dikenakan ke atas mana-mana individu yang melanggarnya.

Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali. Bagaimanapun, hasil pemantauan dijalankan SKMM sehingga kini mendapati, semua video versi penuh atau diedit sudah dipadam termasuk video yang berada pada platform media sosial.

Sumber : BH Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *