Input your search keywords and press Enter.

Permohonan Biasiswa Yang di-Pertuan Agong 2024

M Update, 05/03/2024 – Bagi yang berkelayakan dipelawa memohon Biasiswa Yang di-Pertuan Agong (BYDPA) 2024, bermula semalam hingga 29 Mac 2024.

Basiswa itu merupakan biasiswa berprestij tinggi bawah tajaan kerajaan bagi mengikuti pengajian pada peringkat Sarjana (Penyelidikan) atau Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), ekonomi, undang-undang, kewangan Islam serta kecerdasan buatan (AI) di institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan atau universiti terkemuka dunia.

Pemohon boleh melengkapkan borang permohonan secara dalam talian melalui portal https://bmipenajaan.jpa.gov.my mulai 4 hingga 29 Mac 2024.

Borang permohonan yang lengkap berserta dokumen sokongan berkaitan hendaklah dihantar dan diterima oleh pihak JPA sebelum atau pada 5 April 2024 sama ada melalui serahan tangan atau pos.

Antara syarat permohonan BYDPA 2024 ialah warganegara Malaysia berumur tidak lebih 35 tahun pada 1 Januari lalu.

Syarat lain termasuk mempunyai keputusan akademik amat cemerlang, iaitu ijazah sarjana muda yang diiktiraf kerajaan dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) minimum 3.75 atau kelas pertama atau yang setaraf dengannya bagi calon sarjana, manakala untuk calon PhD pula ijazah sarjana muda dan sarjana yang diiktiraf kerajaan dengan CGPA minimum 3.75 atau kelas pertama atau yang setaraf dengannya.

Pemohon juga perlu terbabit dalam penghasilan kerja-kerja kreatif serta inovatif seperti penulisan, reka cipta seni atau teknologi dan sebagainya. Bagi calon sarjana, pembabitan secara aktif adalah satu kelebihan, manakala untuk calon PhD pula pembabitan adalah wajib.

Menurut JPA, keutamaan akan diberikan kepada calon yang aktif dalam kegiatan kokurikulum atau aktiviti kemasyarakatan.