Input your search keywords and press Enter.

Usaha cari 2 mangsa kemalangan pesawat laut diteruskan

M Update, 15/05/2019 – Pasukan penyelamat dan penyelaman terus berusaha mencari dua orang yang masih hilang selepas dua pesawat laut bertembung di udara, mengorbankan sekurang-kurangnya empat orang, kata Pengawal pantai Amerika Syarikat.

Pencarian dua orang yang hilang, warga Australia dan Kanada itu diteruskan ketika penyiasat persekutuan memulakan siasatan berhubung kemalangan yang berlaku pada Isnin lalu.

Ahli Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB), Jennifer Homendy ketika sidang media berkata, pasukan terdiri daripada 14 orang anggota NTSB, akan berada di lokasi kemalangan sepanjang minggu untuk mengetahui punca kemalangan.

Homendy berkata, pasukan penyiasat akan mengumpul maklumat daripada mangsa yang terselamat, Pentadbiran Penerbangan Persekutuan, saksi lain yang mungkin berada di tempat kejadian, log penerbangan, rekod latihan dan sumber lain, termasuk bangkai pesawat.

“Kami masih berusaha untuk memulihkan pesawat dan perlu membuat penelitian. Ia memerlukan penilaian penting untuk benar-benar memahami bagaimana kedua-dua pesawat itu boleh bertembung,” katanya.

Menurut syarikat kapal persiaran, dua mangsa yang hilang itu adalah antara 14 penumpang daripada kapal Princess Cruises yang menaiki dua pesawat laut dikendalikan dua syarikat pelancongan berbeza di bandar Ketchikan.

Setakat ini tidak ada maklumat lengkap berhubung mangsa yang hilang dilaporkan.

Menurut Pengawal Pantai, 10 orang yang terselamat mengalami kecederaan dalam kemalangan yang berlaku di kawasan perairan terbuka ketika siang hari. Empat yang meninggal dunia termasuk juruterbang. Mangsa lain masih belum dikenal pasti.

Pengarah perubatan Pusat Perubatan PeaceHealth Ktchikan, Dr. Peter Rice berkata, tiga daripada mangsa yang cedera berada dalam keadaan kritikal dan tujuh yang lain berada dalam keadaan stabil. – Reuters

Leave a Reply