Input your search keywords and press Enter.

Parlimen Taiwan lulus perkahwinan sesama jenis

M Update, 18/05/2019 – Parlimen Taiwan hari ini, meluluskan undang-undang perkahwinan sesama jenis, sekali gus mencatat sejarah sebagai negara pertama di Asia yang berbuat demikian.

Ia juga terselamat daripada cubaan oleh pihak konservatif untuk menggagalkan usaha meluluskan undang-undang berkenaan.

Penggubal undang-undang meluluskan rang undang-undang bagi membolehkan perkahwinan antara pasangan sesama jenis, bagi membentuk ‘penyatuan tetap yang eksklusif’.

Rang undang-undang itu turut mengandungi klausa yang membenarkan mereka mengemukakan permohonan untuk ‘mendaftarkan perkahwinan’ dengan beberapa agensi kerajaan.

Keputusan Parlimen itu dianggap satu kejayaan besar bagi masyarakat LGBT yang berkempen sejak beberapa tahun lalu untuk mendapatkan hak berkahwin, sekali gus menjadikan Taiwan sebagai peneraju gerakan hak gay yang semakin berkembang di Asia.

Proses undian itu berlangsung pada sambutan Hari Antarabangsa Menentang Homofobia, Transfobia dan Bifobia, iaitu acara peringkat antarabangsa bagi meningkatkan kesedaran mengenai pelanggaran hak asasi LGBT serta merangsang minat terhadap aktiviti golongan itu di seluruh dunia.

Dalam pada itu, sejak beberapa bulan lalu, puak konservatif berusaha membatalkan undang-undang yang merujuk kepada perkahwinan, sebaliknya mencadangkan rang undang-undang yang menawarkan sesuatu yang hampir menyamai penyatuan sesama jenis yang lebih terhad.

Namun, rang undang-undang itu berdepan cabaran untuk diluluskan kerana gagal memperoleh undi yang mencukupi.

Sementara itu, kumpulan hak asasi gay menyambut baik undang-undang berkenaan dan menyifatkan kebenaran untuk memohon ‘mendaftarkan perkahwinan’ seperti yang dinyatakan dalam klausa empat, akan mewujudkan kesamarataan dengan pasangan heteroseksual.

“Klausa empat memastikan dua individu yang memiliki jantina yang sama boleh mendaftarkan perkahwinan mereka pada 24 Mei dan memastikan Taiwan menjadi negara pertama di Asia yang membenarkan perkahwinan sesama jenis, sekali gus membuka sejarah baharu,” kata Perikatan bagi Mempromosikan Hak Perkongsian Sivil Taiwan.

Dalam pada itu, Presiden Tsai Ing-wen, berkata keputusan untuk membenarkan perkahwinan sejenis adalah satu permulaan bagi mewujudkan kesamarataan.

“Pada 17 Mei 2019, di #Taiwan, #LoveWon. Kami mengambil keputusan ke arah kesamarataan sebenar-benarnya, dan menjadikan Taiwan satu negara yang lebih baik,” katanya di Twitter. – AFP

Leave a Reply