Input your search keywords and press Enter.

Polis : Jangan Jual Mercun Pada Musim Perayaan

M Update, 29/5/2019 – Polis Kelantan memberi amaran kepada mana-mana pihak supaya tidak menjual atau bermain mercun, termasuk yang diubahsuai kerana perbuatan itu adalah berbahaya selain menyalahi undang-undang.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan, berkata perbuatan pihak tertentu yang menyeludup masuk mercun dan bunga api dari negara jiran, untuk dijual secara haram ketika musim perayaan di sini adalah perbuatan yang salah di sisi undang-undang. Tindakan itu seolah-olah satu “penganiayaan” kepada penduduk di sini di mana jika ada kemalangan melibatkan permainan mercun sudah pasti mangsa akan mengalami kecederaan parah termasuklah sehingga mengalami kecacatan kekal dan trauma berpanjangan.

Katanya hanya bunga api jenis ‘Pop-Pop’ dan ‘Happy Boom’ dibenarkan, kerana tidak mengandungi bahan membakar yang boleh membahayakan keselamatan. Bagaimanapun, penjualan kedua-dua jenis mercun berkenaan masih memerlukan permit Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) yang berkaitan dan mengikut spesifikasi ditetapkan.

Sesiapa yang didapati memiliki, menjual, membeli atau bermain mercun atau bunga selain yang dibenarkan, boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 7 dan 8 Akta Bahan Letupan 1958 (Akta 207),” katanya kepada pemberita selepas Majlis Iftar Anjuran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu di sini, malam tadi. Jelasnya, jika sabit kesalahan mereka yang terlibat boleh dipenjara tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Selain itu, Hasanuddin berkata bermain dan membakar mercun dan bunga api dilarang, juga boleh dihukum penjara tidak melebihi satu bulan atau denda sehingga RM100 atau kedua-duanya mengikut Seksyen 3(5) Akta Kesalahan Kecil 1955. Hasanuddin berkata, dengan adanya Pasukan Gerakan Am (PGA) di sempadan Kelantan-Thailand antara lain adalah menghalang kemasukan bahan berkenaan ke negara ini. – BH Online

Leave a Reply