Input your search keywords and press Enter.

Pakcik Dicekup Tak Puasa

M Update, 30/5/2019 – DUA warga emas ditahan anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK) di sebuah kedai makan bukan Islam di Alor Janggus, Alor Setar, hari ini, kerana tidak berpuasa.

Mereka yang berusia 65 dan 75 tahun itu memberi alasan mempunyai masalah kesihatan menyebabkan terpaksa makan di kedai berkenaan pada jam 11.30 pagi. Penolong Pengarah Bahagian Penguat Kuasa JAIK, Syeikh Hakimin Hassan berkata, warga emas berusia 75 tahun itu memberi alasan singgah untuk minum selepas mengambil tempahan batu nisan untuk berniaga.

Menurutnya, rakannya yang juga nelayan itu pula mendakwa sudah seminggu ponteng puasa kerana dahaga selepas seharian menangkap ikan di laut.cMereka mendakwa terpaksa makan di kedai bukan Islam kerana malu hendak makan di rumah disebabkan ada anak cucu.

Bagaimanapun mereka diberi surat saman mengikut Seksyen 14 (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 kerana makan, minum dan menghisap rokok di khalayak ramai dan sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya sekali,” katanya ketika ditemui selepas operasi itu hari ini.

Syeikh Hakimin berkata, operasi hari ini membabitkan empat lokasi di sekitar bandaraya ini berdasarkan maklumat dan aduan orang ramai berhubung kegiatan kaki ponteng puasa. Beliau berkata, antara lokasi ialah di pusat bandar, Alor Janggus, Kampung Teluk Dulang di Jalan Yan dan Pekan Langgar. Setakat ini sebanyak enam saman dikeluarkan menjadikan keseluruhan kepada 15 saman dikeluarkan di Kota Setar sejak awal bulan ini.

Ini adalah operasi terakhir JAIK untuk membanteras kaki ponteng puasa namun operasi berskala kecil akan terus dilakukan di semua daerah di negeri ini,” katanya. – HM Online

Leave a Reply