Input your search keywords and press Enter.

Guru disahkan terbabit culik, bunuh profesor pelawat

M Update, 13/06/2019 – Seorang profesor pelawat di sebuah universiti Amerika Syarikat (AS) diculik dan dibunuh seorang guru, dedah peguam tertuduh di mahkamah semalam.

Pendedahan itu dibuat pada perbicaraan Brendt Christensen ketika peguam kedua-dua belah pihak mendedahkan secara terperinci jenayah kejam dilakukan tertuduh.

Peguam Christensen, 29, mengakui pembabitan tertuduh dalam kehilangan Zhang Yingying dan menegaskan pengakuan itu adalah untuk melepaskan dia daripada hukuman mati.

“Brendt Christensen bertanggungjawab atas kematian Zhang Yingying,” kata pendakwa George Taseff di mahkamah, seperti dilaporkan media AS.

Christensen menculik Zhang berhampiran kampus Universiti Illinois di Champaign, sebuah pekan kecil dikelilingi ladang.

Beliau kali akhir dilihat ketika memasuki kereta tertuduh pada Jun 2017.

Pendakwa dalam perbicaraan itu membentangkan secara terperinci jenayah kejam berkenaan dengan berkata, tertuduh memperkosa mangsa. mencekik dan memukul kepalanya dengan kayu bola lisut sebelum memotong mayat profesor itu kepada beberapa bahagian serta membuangnya di satu lokasi tidak diketahui.

“Dia mendakwa mayat itu tidak boleh dijumpai lagi,” kata pembantu Peguam AS, Eugene Miller kepada juri, seperti dipetik akhbar Chicago Tribune.

Peguam bela Christensen menggambarkan tertuduh sebagai lelaki yang bergelut dengan penderaan, kegagalan dalam perkahwinan dan masalah akademik.

Satu tindakan undang-undang yang difailkan Jumaat lalu turut mendakwa Christensen pernah mendapatkan rawatan untuk masalah mental. – AFP

Leave a Reply