Input your search keywords and press Enter.

Penonton Tertarik Syarahan Tun M di Cambridge Union

M Update, 17/6/2019 – Isu yang disampaikan tidak banyak berbeza daripada apa yang disampaikan di Oxford Union pada Januari, namun Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berjaya menarik perhatian dewan dengan ketajaman percakapan dan selorohnya sewaktu menyampaikan syarahannya di Cambridge Union pada Ahad.

Suasana bising sekumpulan kecil penunjuk perasaan di luar, bagaimanapun terus tenggelam dengan syarahan tanpa teks Tun Mahathir dalam dewan Cambridge Union Society, yang berjaya menarik pendengar dengan syarahannya mengenai kisah dari zaman penjajahan British hingga ke masalah yang dihadapi negara dan dunia pada masa kini.

Sebahagian yang hadir menyatakan, syarahan itu tidak banyak berbeza dengan yang disampaikan di Oxford Union, kerana Perdana Menteri berusia 93 tahun itu tetap dalam pendiriannya dalam banyak isu, termasuklah isu pembangunan negara regim Israel atas kesengsaraan dan kekejaman yang dilakukan terhadap rakyat Palestin dan pendirian negara terhadap LGBT. Beliau juga turut menceritakan bagaimana Malaysia mengubah tumpuannya daripada Barat ke Timur dan kegusaran terhadap peminggiran negara-negara kecil oleh negara besar.

Pendengar yang hadir juga tertarik apabila Tun Dr Mahathir menyatakan dalam bahasa Inggeris, mereka tidak maksudkan apa yang mereka katakan.

Sebagai contoh, di Parlimen, Speaker Dewan tidak dibenarkan untuk bercakap. Malaysia adalah anggota ‘Commonwealth’, namun tidak banyak persamaan (common) dan kekayaan (wealth) yang dikuasai negara tertentu. Inggeris akui Sultan orang Melayu sebagai pemerintah, namun mereka tidak mempunyai kuasa. Jadi apabila mereka mengkritik kita sebagai diktator, saya rasa mereka tidak maksudkannya,” katanya sambil disambut dengan ketawa dan tepukan.

Selepas syarahannya, jawapan Dr Mahathir untuk soalan terakhir daripada pendengar juga membuatkan mereka ketawa. Beliau ditanya sama ada Pakatan Harapan akan masih menjadi kerajaan dalam pilihan raya yang akan datang, Dr Mahathir dengan bersahaja menjawab: “Ia bergantung pada anda, jika anda undi kami, kami akan kembali.

Pendengar syarahan itu termasuklah pelajar universiti Cambridge, pelajar Malaysia di UK dan juga rakyat Malaysia di UK. – Bernama

Leave a Reply