Input your search keywords and press Enter.

Anjing penyelamat Mexico, Frida sudah bersara

M Update, 26/06/2019 – Anjing penyelamat jenis labrador, Frida yang membantu mengesan mangsa ketika gempa bumi di Mexico pada 19 September 2017, dilaporkan bersara mulai semalam.

Frida mula terkenal selepas menunjukkan kehebatannya mengesan mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan ketika tragedi itu.

Majlis persaraan anjing berusia 10 tahun itu, berlangsung di unit anjing, tentera laut Mexico.

“Anjing labrador kita, Frida akan memulakan era baharu kehidupannya.

“Frida berjaya menawan hati rakyat Mexico dan ramai lagi di seluruh dunia.

“Setiap kali Frida menyalak, ia disertai dengan harapan, sekali gus menghentikan kesedihan dan ketidakpastian,” kata Timbalan Menteri Tentera Laut, Eduardo Redondo.

Ketika kejadian gempa bumi berukuran 7.1 magnitud yang menggegarkan Mexico City itu, Frida membantu mengesan mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan bangunan sekolah rendah Rebsamen.

Seramai 19 kanak-kanak dan tujuh dewasa maut di lokasi terbabit dalam gempa bumi berkenaan.

Tentera laut berkata, sepanjang perkhidmatannya, Frida berjaya menyelamatkan 12 orang mangsa.

Selain itu, Frida turut menyertai usaha mencari dan menyelamat mangsa gempa bumi di Haiti dan Ecuador, masing-masing pada 2010 serta 2016, selain ketika insiden letupan di ibu pejabat syarikat minyak Mexico, Pemex pada 2013.

Pada majlis persaraan berkenaan, pengendali Frida menanggalkan topeng dan but yang dipakai anjing itu, sebelum menerima barang permainan, sebagai simbol beliau akan memulakan hidup baharu, selepas bersara.

“Frida berjaya mencapai misinya dengan penuh penghormatan,” kata Redondo. – AFP

Leave a Reply