Input your search keywords and press Enter.

Kerajaan Bakal Lancar Dasar Pengangkutan Negara 2019-2030

M Update, 9/10/2019 – Dasar Pengangkutan Negara (DPN) akan dilancarkan sebagai hala tuju baru kerajaan meningkatkan kecekapan dan keupayaan logistik pengangkutan negara untuk keperluan domestik dan antarabangsa.

Dasar 10 tahun sehingga 2030 itu akan dilancarkan 17 Oktober ini, menggabungkan tiga mod pengangkutan utama iaitu udara, darat dan laut. Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Kamaruddin Jaafar, berkata majlis pengenalan dasar pertama kali diumumkan itu disempurnakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, dijadual berlangsung di Kuala Lumpur Sentral (KL Sentral), di sini.

Beliau berkata, ia dirancang mengambil kira pergolakan dalam dunia pengangkutan hari ini dengan perancangan dibuat berasaskan kepada keadaan, anggaran dan penggunaan pengangkutan dalam tempoh 10 tahun mendatang. Kementerian Pengangkutan (MOT) sudah merancang untuk mewujudkan satu dasar bersama dalam satu kementerian. Jadi tidak ada lagi dasar maritim, dasar udara, laut dan sebagainya selepas ini.

Sebaliknya, kementerian sudah memutuskan bahawa kita akan merumuskan satu dasar yang meliputi keseluruhan kementerian (MOT),” katanya. Beliau berkata, pengenalan dasar ini akan disusuli dengan rancangan penambahan prasarana baharu pengangkutan negara pada masa depan. Secara khususnya ia akan memerlukan pembinaan infrastruktur yang baru tetapi dalam pengumuman dasar ini nanti, perkara (prasarana baharu) itu tidak disebutkan secara khusus sebab ia diuruskan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM).

“Tetapi itu antara yang diberi keutamaan. Fokus kita kepada tiga mod pengangkutan iaitu darat, udara dan laut tanpa sebarang pengecualian,” katanya. Beliau berkata, dasar itu juga mengandungi misi dan visi untuk memastikan negara dapat memberikan khidmat pengangkutan awam terbaik kepada rakyat dan di peringkat antarabangsa, aset pengangkutan negara sama ada lapangan terbang dan pelabuhan akan memainkan peranannya dengan lebih baik.

“Ini untuk menjadikan Malaysia salah satu destinasi pelaburan dan lapangan terbang penting di seluruh dunia dan rantau ini. Berbanding negara maju kita belum mencapai tahapnya (logistik terbaik dunia).

“Kita ada statistik yang memberi markah dan kedudukan (negara) kita. Oleh itu, kita sedikit tergelincir sebagai pusat logistik dunia. Ini contohnya meliputi aspek penggunaan lapangan terbang dan pelabuhan kita,” katanya.

DPN menyediakan hala tuju strategik untuk kementerian serta agensi merancang dan membangunkan sektor pengangkutan; memperkemas inisiatif dan program untuk mencapai objektif dan matlamat; memastikan kecekapan dan keberkesanan penggunaan sumber serta memastikan perancangan mengikut sektor melengkapi satu sama lain.

Ia menggariskan lima teras iaitu memperkukuh tadbir urus ke arah persekitaran yang kondusif serta mengoptimum, membina dan menyelenggara prasarana pengangkutan, perkhidmatan dan rangkaian bagi memaksimumkan kecekapan.

Tiga lagi teras, memperkukuh aspek keselamatan, integrasi, ketersambungan dan kebolehcapaian bagi perjalanan yang lancar; maju ke arah ekosistem pengangkutan hijau serta memperluas jejak global dan mempromosikan pengantarabangsaan perkhidmatan pengangkutan. – BH Online

Leave a Reply