Input your search keywords and press Enter.

Polis Cari Saksi Kemalangan Maut Dua Motosikal

M Update, 9/10/2019 – Polis memohon saksi awam untuk tampil membantu siasatan kemalangan maut membabitkan dua motosikal di laluan motosikal Lebuhraya Persekutuan arah ke ibu negara, berhampiran bangunan Naza World, dekat sini, pagi semalam.

Dalam kemalangan kira-kira jam 8.30 pagi itu, penunggang motosikal, Izham Shamsul Hazizan, 33, maut di tempat kejadian manakala isterinya, Junaidah Musa, 33, cedera ringan. Difahamkan, pasangan suami isteri itu sedang dalam perjalanan ke tempat kerja di ibu negara sebelum sebuah motosikal lain yang baharu masuk ke laluan motosikal dari laluan utama lebuh raya bergesel dengan motosikal dinaiki mereka. Akibat pergeselan itu, motosikal mangsa hilang kawalan dan terbabas melanggar besi pembahagi jalan.

Izham disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala isterinya dan seorang lagi penunggang motosikal berusia 34 tahun yang cedera dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan. Mayat mangsa turut dihantar ke pusat perubatan sama untuk dibedah siasat. Susulan itu, polis memohon saksi yang melihat kemalangan itu untuk tampil bagi membantu siasatan polis bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan.

Saksi boleh berhubung dengan pegawai penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, Inspektor Mohd Nazreen Shaharuddin di talian 010 2105101. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BH Online

Leave a Reply