Input your search keywords and press Enter.

CRS Jenis R44 Dan R129 Sahaja Diiktiraf Di Malaysia – MIROS

M Update, 25/10/2019 – Hanya kerusi keselamatan kanak-kanak (Child Restraint System: CRS) yang mempunyai piawaian keselamatan EN ECE R44/04 dan R129 dibenarkan digunakan di Malaysia.

Pegawai Penyelidik Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Nurulhana Borhan, berkata piawaian itu ditetapkan oleh Peraturan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNR) sebagai langkah keselamatan kanak-kanak yang mempunyai ketinggian kurang 135cm.

“Selain pensijilan Peraturan UNR, setiap produk CRS akan mempunyai pelekat E-Mark berwarna jingga yang tertera maklumat seperti kategori produk mengikut berat atau tinggi dan nombor kelulusan.

“Ia juga perlu mempunyai pelekat label QR sah daripada Miros, yang merekodkan maklumat spesifikasi teknikal CRS mengikut piawaian,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Nurulhana berkata, pihaknya sering menasihatkan ibu bapa agar tidak terpedaya dengan CRS yang murah, kerana ada juga jenama pengeluar yang tidak lulus piawaian tetapi melekatkan label tidak sahih dijual di pasaran. Apabila membabitkan isu keselamatan, setiap ibu bapa tidak boleh berkompromi, kerana tidak semua CRS berkualiti dijual dengan harga yang mahal, iaitu mencecah RM1,000 seunit.

“Sebenarnya ada CRS yang lulus piawaian dan ujian keselamatan, tetapi dijual pada harga yang rendah, seperti dari RM150 ke RM300,” katanya.

Pada Rabu, kerajaan mengumumkan akan mewajibkan penggunaan CRS di dalam kenderaan bermula 1 Jan 2020 bagi menyelamatkan kanak-kanak daripada mengalami kecederaan serius atau kematian, sekiranya berlaku kemalangan. Seiring dengan langkah itu, MIROS mengeluarkan Garis Panduan Kerusi Keselamatan Kanak-Kanak di Malaysia, yang boleh dimuat turun daripada laman web Miros.

“Piawaian ini telah ditetapkan demi keselamatan pengguna. Jika sesebuah CRS itu tidak mengikut piawaian, ia bukan sahaja tidak dapat menyelamatkan mangsa kemalangan, tetapi akan memburukkan lagi keadaan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) Azharul Izwan Puaadi berkata, kesedaran mengenai kepentingan penggunaan CRS di dalam kereta masih berada pada tahap rendah di Malaysia. Berdasarkan pemerhatian kami ketika operasi bersama pihak berkuasa, kurang daripada 40 peratus ibu bapa menggunakan CRS, selain kurang didikan terhadap keselamatan diri mereka dan kanak-kanak ketika menaiki kenderaan.

Ribuan kenderaan bergerak di jalan raya setiap hari dan membawa bayi serta kanak-kanak kecil yang terdedah kepada risiko kemalangan, apabila tidak ditempatkan di tempat duduk khas,” katanya. Dalam tempoh 2018 hingga Mac lepas, jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya di WPKL adalah sebanyak 268 kes dan turut membabitkan kanak-kanak dan bayi.

Ada pula ibu bapa yang berpendapat meriba anak-anak mereka dalam kereta sudah memadai kerana tidak mampu membeli CRS, namun mereka tidak sedar tindakan mereka itu jelas membahayakan diri kanak-kanak itu,” katanya. Menurut kajian yang dijalankan, tempat duduk khas bayi boleh merendahkan risiko kematian sehingga 70 peratus bagi bayi dan 50 peratus bagi kanak-kanak berusia antara satu hingga lima tahun.

“Jika kita mahu serius mengenai keselamatan jalan raya, kita juga perlu serius mengenai langkah berjaga-jaga yang perlu diambil, bagi memastikan keselamatan mereka yang berada di dalam kenderaan,” katanya.

Sumber : Bernama

Leave a Reply