Input your search keywords and press Enter.

PLUS Tutup Lorong Tambah Nilai Bermula Hari Ini

Foto : PLUS

M Update, 5/11/2019 – PLUS Malaysia Berhad (PLUS) memutuskan untuk menutup perkhidmatan tambah nilai Touch ‘n Go di semua lorong keluar plaza tol di lebuh raya seliaannya mulai hari ini.

Dalam satu kenyataan, PLUS memaklumkan pendekatan diambil untuk mengurangkan kesesakan disebabkan urusan tambah nilai di lorong tol di semua plaza tol di wilayah utara dan wilayah selatan. Katanya, Pusat Khidmat Pelanggan di sesetengah plaza tol dan lorong tambah nilai di lorong masuk di plaza tol terpilih masih disediakan serta beroperasi seperti biasa.

Rekod PLUS menunjukkan, lapan peratus daripada 253,000 purata trafik harian di wilayah utara dan sembilan peratus daripada 189,000 purata trafik harian di wilayah selatan tidak mempunyai baki mencukupi untuk melaksanakan transaksi tol di lorong keluar.

“Ini menyebabkan perjalanan pelanggan lain sering terganggu kerana setiap transaksi tambah nilai akibat baki rendah boleh mengambil masa sehingga tiga minit untuk setiap kenderaan,” katanya.

Langkah PLUS tidak menyediakan perkhidmatan tambah nilai bertujuan meningkatkan keselamatan pembantu perkhidmatan pelanggan PLUS kerana kemalangan membabitkan kenderaan berat merempuh pondok tol kerap berlaku. Antara 2016 hingga 2018, terdapat 81 kes di mana kenderaan berat merempuh pondok tol yang dikendalikan oleh pembantu perkhidmatan pelanggan,” katanya.

Terdahulu, PLUS sudah melaksanakan inisiatif ‘Tiada Tambah Nilai’ di semua lorong keluar di plaza tol di Wilayah Tengah di antara laluan Seremban hingga Ipoh Selatan sejak 1 Ogos lalu.

“Selepas tiga bulan pelaksanaan, PLUS berjaya merekodkan pengurangan melebihi 60 peratus membabitkan kesesakan trafik dan jumlah kenderaan beratur untuk menambah nilai di semua lorong keluar di plaza tol di wilayah tengah,” katanya.

Justeru, pelanggan PLUS dinasihat merancang perjalanan dan memastikan kad Touch ‘n Go mereka mempunyai baki mencukupi sebelum memasuki lebuh raya. PLUS bersama Touch ‘n Go Sdn Bhd akan memastikan semua kiosk tambah nilai Touch ‘n Go berada dalam keadaan yang baik pada setiap masa.

“Ketika ini, terdapat lebih daripada 11,000 pusat tambah nilai yang disediakan oleh Touch ‘n Go di seluruh negara termasuk mesin ATM, stesen minyak, kedai serbaneka, kawasan rehat dan rawat dan pusat beli-belah,” katanya.

Leave a Reply