Input your search keywords and press Enter.

Bayi Lelaki Retak Tempurung Kepala Dihempap Almari

M Update, 24/12/2019 – Dalam kejadian 11 malam, 20 Disember lalu itu, Muhamad Ammar Zayyan Zahari yang cedera di kepala kemudian dikejarkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kota Bharu untuk rawatan.

Pemeriksaan lanjut mendapati anak bongsu daripada dua beradik itu mengalami retak tempurung kepala.

“SAYA hanya mampu mengucap beberapa kali sebaik anak berusia 11 bulan berada di bawah almari,” kata Nur Ain Azman, 26, ibu kepada bayi lelaki yang dihempap almari setinggi dua meter (m), di Rantau Panjang, Jumaat lalu.

Nur Ain berkata, sebelum kejadian, dia bersama anaknya itu berada di dalam bilik di rumahnya di Taman Bakti, Rantau Panjang. Katanya, ketika itu, anaknya berada berhampiran almari kayu yang dipenuhi beg, sementara dia sedang menggantung baju di dalam bilik.

“Ketika itu, anak berada di belakang saya sebelum dikejutkan bunyi benda jatuh disusuli dengan tangisan anak yang sangat kuat. Sebaik berpaling ke belakang, saya menggeletar lihat anak sudah berada di bawah almari. Saya sendiri tidak pasti bagaimana almari itu boleh jatuh.

Tanpa berfikir panjang, saya bersama suami terus membawa anak ke HUSM untuk rawatan lanjut. Sepanjang perjalanan, anak saya menangis tanpa henti dan saya hanya mampu berdoa kecederaan anak tiada yang serius,” katanya.

Menurutnya, sebaik tiba di hospital, anaknya menjalani imbasan CT dan mendapati tiada sebarang pendarahan. Doktor maklumkan anak saya mengalami retak tempurung kepala. Anak saya berada di wad selama dua hari sebelum dibenarkan pulang.

“Kini, keadaan anak stabil namun pemantauan perlu dibuat dari semasa ke semasa. Cuma anak saya sering merengek… mungkin dia terasa sakit di kepalanya,” katanya.

Peniaga beg itu berkata, kejadian itu menjadi pengajaran terbaik kepadanya untuk lebih berhati-hati dalam menjaga keselamatan anak. Kemalangan boleh berlaku di mana-mana sahaja. Namun sebagai ibu bapa, jangan ambil mudah dan perlu sentiasa pastikan anak sentiasa berada dalam keadaan selamat,” katanya. – HM Online

Leave a Reply