Input your search keywords and press Enter.

Kerajaan Tiada Cadangan Lanjut Tarikh Daftar Insentif e-Dompet

M Update, 20/1/2020 – Kerajaan tidak bercadang melanjutkan tempoh pemberian insentif RM30 kepada rakyat yang mendaftar menggunakan aplikasi pembayaran digital e-dompet berakhir 9 Mac depan.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata sehingga kini, seramai 2.6 juta rakyat Malaysia sudah mendaftar melalui tiga platform pembayaran digital iaitu Touch ‘n Go, Boost dan Grab. Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak dua juta permohonan sudah diluluskan pembayaran insentif berkenaan.

“Ia (pembayaran insentif RM30) adalah usaha kita menggalakkan pembayaran digital dalam kalangan rakyat dan pada masa sama, menggalakkan peniaga serta pedagang mendaftarkan diri mereka untuk menjual dengan lebih baik secara dalam talian.

“Usaha ini juga untuk menuju masyarakat tanpa tunai dan sambutan serta maklum balas diterima begitu baik daripada rakyat Malaysia, malah ia di luar jangkaan,” katanya selepas melancarkan Program Inisiatif e-Tunai Rakyat di AEON Kinta City semalam.

Beliau berkata, kempen insentif e-Tunai itu berlangsung sehingga 14 Mac dengan wang yang dikreditkan perlu dibelanjakan sehingga tarikh berkenaan, manakala pendaftaran untuk aplikasi e-Tunai perlu dilakukan sebelum 9 Mac. Katanya, kerajaan memperuntukkan RM450 juta bagi program itu dan ia dipadankan kepada semua syarikat pengendali e-Tunai yang berkenaan.

Sementara itu, Guan Eng turut mengingatkan peniaga kecil khususnya yang menjalankan perniagaan dalam talian untuk turut membuat pendaftaran aplikasi pembayaran digital bagi menggalakkan dan merancakkan lagi perniagaan mereka.

Katanya, kaedah pembayaran digital ini sangat bagus dan ia menggalakkan lagi kesedaran masyarakat menggunakan kemudahan pembayaran secara digital dengan lebih meluas kerana pada era digital, semua pembayaran adalah secara dalam talian. – BH Online

Leave a Reply