Input your search keywords and press Enter.

ATM, PDRM Kerjasama Tangani Masalah Dadah Kalangan Anggota

M Update, 3/3/2020 – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sepakat menangani masalah penyalahgunaan dadah dalam kalangan warga kedua-dua pasukan keselamatan itu.

Panglima ATM Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, walaupun angka anggota tentera terbabit dalam penagihan dadah kecil tetapi pihaknya serius berikutan setiap warga tentera diamanahkan menjaga keselamatan negara. Menurutnya, pengawasan berkaitan dadah membabitkan warga tentera adalah proses dilakukan setiap masa malah tangkapan turut dilaksanakan.

“Saringan terhadap anggota (tentera) yang kita kesan dalam berisiko tinggi sentiasa dilakukan. Namun, seperti mana kita ketahui walaupun sudah memberi hukuman berat kepada sesiapa didapati menyalahgunakan dadah tetapi perkara ini tak dapat hapuskan 100 peratus.

“Sentiasa ada anggota ingin mencuba, kita cari kaedah sebaik mungkin. Angkanya kecil tetapi sebab kita jaga keselamatan jadi kita serius,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media sempena kunjungan hormat Panglima Angkatan Tentera ke atas Ketua Polis Negara di Bukit Aman semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, perkara berkaitan penggunaan dadah itu antara yang dibincangkan dalam kunjungan hormat berkenaan.

“Hari ini genap dua bulan baru dapat tarikh sesuai berjumpa. Kunjungan hormat ini adalah tradisi. “Saya juga buat kunjungan hormat kepada Panglima ATM apabila dilantik KPN. Warga kerja PDRM dan ATM mencecah suku juta dan sejarah kami begitu lama.

“Harap tidak ada pihak buat telahan lain, tiada kena mengena (kunjungan hormat) dengan perkara di luar. “Antara kami bincangkan adalah ancaman dadah yang menerap masuk ke dalam kedua-dua pasukan.

“Tindakan kena diambil untuk membersihkannya. Malah, Panglima ATM juga bersetuju Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik PDRM untuk membuat pemeriksaan mengejut kepada warga ATM,” katanya.

Beliau berkata, sebagai pasukan utama yang diamanahkan menjaga keselamatan, keamanan dan kesejahteraan negara maka warga ATM dan PDRM wajib bersih daripada elemen dadah. – HM Online

Leave a Reply