Input your search keywords and press Enter.

COVID-19: Arab Saudi Jalankan Kerja Pembersihan, Sterilisasi

Arab Saudi mengosongkan lokasi paling suci Islam, semalam, bagi menjalankan sterilisasi berikutan kebimbangan terhadap COVID-19.

M Update, 06/03/2020 – Arab Saudi mengosongkan lokasi paling suci Islam, semalam, bagi menjalankan sterilisasi berikutan kebimbangan terhadap COVID-19 selepas ia ditutup untuk kali pertama dengan penggantungan sementara ibadat umrah, lapor media negara ini.

Keputusan penggantungan itu turut membabitkan rakyat dan penduduk di Arab Saudi, kelmarin, selepas penguatkuasaan sama ke atas jemaah dari luar negara diumumkan pada minggu lalu dalam usaha membasmi penularan virus berkenaan.

Siaran televisyen negara ini menunjukkan keadaan lenggang di kawasan sekitar Kaabah yang lazimnya padat dengan puluhan ribu jemaah.

Saudi Press Agency yang dikendalikan kerajaan memetik seorang pegawai masjid berkata, sebagai ‘langkah berjaga-jaga’, kawasan berkenaan akan terus ditutup selagi ibadat umrah digantung tetapi jemaah akan dibenar menunaikan solat di dalam masjid.

Menurut pegawai itu lagi, Masjidil Haram serta Masjid Nabawi di Madinah akan ditutup sejam selepas solat isyak dan dibuka semula sejam sebelum solat subuh bagi membolehkan pelaksanaan kerja pembersihan serta sterilisasi.

Dalam pada itu, sekumpulan pekerja pembersihan dilihat menggosok dan mengelap jubin di sekitar Kaabah.

Seorang pegawai Arab Saudi memberitahu AFP, keputusan menutup kawasan terbabit ‘julung kali dilakukan’.

Kelmarin, Arab Saudi menggantung sementara ibadat umrah ke atas rakyat dan penduduk di negara ini kerana bimbang COVID-19 menular di kota suci.

Ia menyusuli langkah pihak berkuasa menggantung sementara visa umrah dan melarang rakyat daripada negara anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC) untuk memasuki Makkah serta Madinah, minggu lalu.

Semalam, Arab Saudi mengesahkan tiga jangkitan baharu coronavirus, menjadikan jumlah lima kes dilaporkan, setakat ini. – AFP

Leave a Reply