Input your search keywords and press Enter.

Patuh PKP Kunci Kejayaan Perangi COVID19 – Dr Adham Baba

M Update, 8/4/2020 – Kepatuhan terhadap tiga perincian utama sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah kunci yang akan menentukan kejayaan negara dalam memerangi pandemik coronavirus (COVID-19).

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata tiga perincian itu iaitu duduk di rumah, penjarakan sosial dan penjagaan aspek kebersihan dilihat efektif dalam mengurangkan jangkitan baharu dalam kalangan penduduk negara. Menurut beliau, peringkat akhir fasa kedua PKP yang dijadualkan tamat 14 April ini adalah tempoh paling kritikal dalam memastikan usaha kerajaan membasmi COVID-19 tidak sia-sia.

“Kerajaan memang sangat memerlukan kerjasama orang ramai untuk mematuhi sepenuhnya PKP khususnya tiga perkara utama yang digariskan iaitu penjarakan sosial, duduk di rumah dan penjagaan aspek kebersihan.

“Kita dapat melihat bagaimana tiga perincian ini jika dipatuhi sepenuhnya mampu memutuskan rantaian dan meratakan lengkung penyebaran COVID-19,” katanya ketika dihubungi menerusi siaran langsung Selamat Pagi Malaysia di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Dr Adham berkata, rawatan peringkat awal secara komprehensif turut berkesan dalam menurunkan kadar jangkitan baharu COVID-19. Usaha berterusan pasukan kesihatan negara ini katanya, turut berhasil membantu meningkatkan jumlah pesakit yang dibenarkan discaj.

“Setakat ini kita merekodkan bilangan 321 kes yang sudah dibenarkan discaj dari keseluruhan 3,963 jangkitan positif COVID-19 di Malaysia,” katanya.

Malaysia katanya, memiliki rangkaian pakar dan kemudahan kesihatan yang mencukupi dalam merawat kes COVID-19, namun ia memerlukan kerjasama semua pihak untuk mematuhi PKP sepenuhnya.

“Apa yang penting ialah kawal diri, kita tak mahu ada kes import kerana itu akan menyukarkan usaha memutuskan penularan COVID-19 di Malaysia. Sebab itu PKP ini dilaksanakan. Kita mahu meratakan lengkung penyebaran virus dan seterusnya memastikan negara bebas dari COVID-19,” katanya.

Bersama-sama kita berganding bahu bersatu hati memerangi COVID-19 ini demi kesihatan semua dan semoga kita dipermudahkan mengharungi semua ini dan doakan Malaysia bebas daripada wabak virus ini secepat mungkin.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *