Input your search keywords and press Enter.

Remaja Lelaki Mengaku Salah Bakar Anak Kucing

M Update, 03/05/2024 – Seorang remaja lelaki berusia 13 tahun mengaku bersalah di Mahkamah Majistret hari ini atas satu pertuduhan membakar anak kucing di sebuah pangsapuri, minggu lalu.

Remaja itu membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Nik Siti Norazlini Nik Mohamed Faiz.

Mengikut pertuduhan, remaja itu didakwa bersama dua lagi lelaki yang masih bebas, secara kejamnya menyebabkan kesakitan kepada seekor kucing dengan membakar haiwan tersebut di kawasan parkir sebuah blok di Pangsapuri Taman Sri Kenari, Kajang pada jam 1.08 tengah hari 22 April lalu.

Ibu pesalah juvana itu berusia 30 tahun dalam rayuannya memohon ikat jamin dikurangkan berikutan hanya berpendapatan RM1,500 sebulan sebagai pekerja kilang di sebuah syarikat elektronik dan berstatus ibu tunggal.

Mendengar hujah kedua-dua pihak, Nik Siti Norazlini membenarkan jaminan RM1,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 Jun ini bagi mendapatkan laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebelum menjatuhkan hukuman.