Input your search keywords and press Enter.

Haiwan Pesakit Positif COVID19 Perlu Dikuarantin

M Update, 9/4/2020 – Haiwan peliharaan milik individu yang disahkan positif COVID-19 perlu diasingkan dan dikuarantin selama 14 hari, bagi tujuan pemantauan kesihatan.

Pensyarah Kanan (Imunologi Veterinar), Fakulti Perubatan Veterinar, Universiti Putra Malaysia, Dr Farina Mustaffa Kamal, berkata sekiranya haiwan itu menunjukkan sebarang masalah kesihatan dalam tempoh berkenaan, penjaga perlu merujuk kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Daerah, untuk tindakan susulan.

Katanya, biarpun tiada bukti haiwan peliharaan boleh menyebarkan jangkitan COVID-19, namun ia boleh dijangkiti penyakit itu, seperti dilaporkan Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia (OIE).

“Dua kes jangkitan COVID-19 membabitkan haiwan peliharaan, iaitu kucing dan anjing sudah dilaporkan di Belgium dan Hong Kong yang berpunca daripada pemiliknya positif wabak itu.

“Jadi, haiwan peliharaan ini disyaki terjangkit daripada kontak rapat individu positif COVID-19, melalui ciuman, pelukan atau pengendalian haiwan, tanpa membasuh tangan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Bagaimanapun Dr Farina berkata, setakat ini kes jangkitan ke atas haiwan peliharaan adalah amat terpencil dan tiada maklumat jelas mengenai simptom haiwan dijangkiti COVID-19, malah kebanyakannya tidak menunjukkan sebarang tanda.

“Hanya kes seekor kucing di Belgium yang menunjukkan simptom masalah pernafasan, cirit-birit dan muntah. Namun perlu diingatkan, terdapat agen virus atau bakteria lain yang boleh menyebabkan simptom yang sama pada haiwan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan lebih baik jika langkah kuarantin dan pengasingan diri daripada haiwan peliharaan dilakukan lebih awal, sebaik pemilik menyedari diri mereka mempunyai simptom dijangkiti COVID-19.

“Jika waktu itu tiada orang lain yang boleh mengendalikan haiwan milik anda, pakailah penutup muka serta sarung tangan ketika memberi makan dan minum, membersihkan sangkar dan najis haiwan peliharaan itu,” katanya.

Tambah Dr Farina, tiada bukti jelas ada spesis haiwan tertentu yang lebih mudah dijangkiti secara semula jadi, namun beliau menegaskan dalam situasi negara dilanda pandemik COVID-19 ini, pemilik amat digalakkan mengurung haiwan peliharaan di dalam rumah.

“Setakat ini, kajian menunjukkan virus ini (COVID-19) boleh menjangkiti kucing, feret dan monyet. Namun begitu, feret dan monyet merupakan haiwan makmal yang digunakan dalam kajian berkaitan coronavirus,” jelasnya.

Mengulas mengenai nasib haiwan jalanan pula, Dr Farina berkata kebanyakan kucing jalanan selalunya lebih sukar didekati, kerana ia tidak biasa berinteraksi dengan manusia.

“Jadi secara logiknya, kurang kontak rapat seperti ciuman, pelukan antara manusia dan kucing jalanan, namun saranan daripada OIE dan WHO (Pertubuhan Kesihatan Sedunia) perlu diguna pakai, jika mengendalikan haiwan peliharaan, mahupun jalanan,” jelasnya.

Mengulas lanjut mengenai coronavirus, jangkitan kuman dan virus terhadap haiwan, Dr Farina berkata secara amnya, coronavirus adalah kumpulan keluarga virus yang besar dan menjangkiti spesis haiwan yang berlainan. Katanya, kebanyakan virus terbabit bukan zoonotik, atau bermaksud jangkitan itu terhad di dalam haiwan sahaja.

Contoh virus yang boleh menjangkiti haiwan domestik ialah seperti anjing (canine coronavirus), kucing (feline coronavirus), ayam (infectious bronchitis virus), babi (porcine epidemic diarrhea virus dan transmissible gastroenteritis virus).

“Hanya SARS-CoV, MERS-CoV yang dikenal pasti berpunca daripada haiwan, iaitu kelawar dan boleh menjangkiti manusia,” katanya.

Sementara itu, katanya bagi SARS-CoV2 iaitu virus penyebab COVID-19, analisa jujukan virus mendapati terdapat 96 peratus persamaan dengan virus yang dijumpai di dalam kelawar, namun kajian lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti punca sebenar. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *