Input your search keywords and press Enter.

Tuan Guru Ismail Kamus Selamat Dikebumikan

M Update, 8/5/2020 – Cuaca mendung dan suasana sayu mengiringi majlis pengebumian pengasas Persatuan Perubatan Islam Darussalam Malaysia, Datuk Ismail Kamus di Tanah Perkuburan As-Sobirin, Lembah Keramat, Kuala Lumpur, hari ini.

Jenazah selesai dikebumikan pada 11 pagi selepas selesai dimandikan dan disolatkan di Masjid As-Sobirin Au4, Lembah Keramat. Turut kelihatan kenalan, tokoh agama dan ahli keluarga hadir bagi menziarahi dan memberi penghormatan terakhir. Hanya ahli keluarga sahaja dibenarkan masuk ke dalam masjid bagi menguruskan jenazah. Keadaan di kawasan masjid dan tanah perkuburan dikawal Jabatan Amal Malaysia bagi mengelakkan kesesakan berlaku.

Terdahulu, pendakwah terkenal itu disahkan meninggal dunia di rumahnya di Ampang, Selangor, jam 12.29 tengah malam tadi. Allahyarham yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia selama sepenggal pada 1999 hingga 2004 dan pernah memegang jawatan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat.

Pada 9 Mei tahun lalu, Allahyarham yang juga Pengasas dan Penasihat Pusat Rawatan Islam Darussalam Malaysia dilaporkan menjalani pembedahan jantung di Institut Jantung Negara (IJN). Allahyarham dilahirkan pada 2 Disember 1948 di Kampung Batang Rening , Ulu Selangor.

Mendapat pendidikan awal di Sekolah Arab Batang Kali sebelum meneruskan pengajian ke Ma’ahad Hisyamuddin, Klang di mana beliau berguru dengan seorang ulama tersohor, Asy-Syeikh Mahmood al-Arif al-Bukhori.

Allahyarham kemudiannya melanjutkan pelajaran ke Kolej Islam Klang dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan mendapat ijazah Sarjana Muda Syariah dengan kepujian pada 1976. Allahyarham juga pernah menuntut di Beaver College Pennsylvania, Amerika Syarikat.

Allahyarham pernah bertugas sebagai guru, Pegawai Penyelidik, Pegawai Dakwah selain bertugas selama 15 tahun di pelbagai jabatan seperti di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) dan Pusat Islam.

Jawatan terakhir Allahyarham ialah sebagai Pakar Rujuk di Bahagian Hal Ehwal Islam (BAHEIS) Pusat Islam sebelum bersara secara pilihan.

Allahyarham juga adalah seorang perunding motivasi dan pendakwah bebas dengan memberi ceramah agama di seluruh dunia seperti Brunei Darussalam, Indonesia, Thailand, Singapura, United Kingdom, Amerika Syarikat, Kanada dan negara Asia Barat. – HM Online

Leave a Reply