Input your search keywords and press Enter.

Anggota Imigresen Ditahan Dipercayai Terlibat Sindiket Penyeludupan Warga Asing

M Update, 25/6/2020 – Empat termasuk tiga pegawai Jabatan Imigresen dan seorang anggota Pasukan Polis Marin (PPM) ditahan susulan operasi berterusan polis Johor ke atas kegiatan sindiket penyeludupan migran, sejak Mac lalu.

Pegawai Jabatan Imigresen yang berusia antara 30 hingga 48 tahun itu bertugas di Terminal Feri Pasir Gudang, Johor manakala anggota PPM berusia 41 tahun bertugas di Markas Operasi Pasukan Marin di Putrajaya.

Penahanan empat suspek itu menjadikan sehingga kini seramai 22 pegawai dan anggota penguat kuasa ditahan selepas disyaki terbabit dengan sindiket penyeludupan migran di pantai timur Johor.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata tangkapan pertama membabitkan tiga pegawai imigresen pada 23 Jun lalu susulan penahanan 12 migran warga Indonesia antara 15 hingga 21 Jun lalu.

Katanya, modus operandi yang digunakan tiga suspek itu adalah menyediakan cop (keluar/masuk) imigresen yang disyaki palsu bagi menguruskan penyeludupan warga Indonesia yang sudah tamat tempoh pas lawatan sosial (PLS) sebelum penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kadar bayaran yang dikenakan sebanyak RM1,500 hingga RM2,500 bagi setiap migran, dan setibanya di Terminal Pasir Gudang, pergerakan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang menggunakan cop disyaki palsu akan diuruskan oleh pegawai imigresen yang bersekongkol dengan sindiket bagi menguruskan pergerakan pulang PATI ke negara asal.

“Kegiatan sindiket penyeludupan keluar warga Indonesia menerusi Terminal Feri Pasir Gudang, Johor ke Batam Center, Indonesia, sudah bergiat aktif bermula awal Mei lalu ketika kerajaan Malaysia mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor (IPK) di sini, hari ini. Ayob Khan berkata, dalam satu operasi berasingan Bahagian Siasatan Jenayah Johor berjaya menahan seorang anggota PPM pada 19 Jun lalu, disyaki bersekongkol dengan kegiatan seumpama, selain aktif dalam sindiket penyeludupan migran sejak Mei 2017.

“Tangkapan membabitkan anggota marin akan disiasat mengikut Seksyen 130V hingga 130ZB Bab 6B Jenayah Terancang, Kanun Keseksaan dengan mengguna pakai prosedur siasatan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

“Manakala untuk tangkapan pegawai dan anggota imigresen akan disiasat dan didakwa mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dengan menggunapakai prosedur siasatan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

“Sehingga kini, 14 anggota polis termasuk seorang pegawai, selain lima anggota tentera iaitu dua pegawai serta tiga lain-lain pangkat dan tiga pegawai imigresen di tahan,” katanya.

Beliau berkata, polis Johor tidak akan bertolak ansur dan melindungi pegawai dan anggota mana-mana agensi penguat kuasa sekiranya didapati terbabit dalam sindiket penyeludupan migran. – BH Online

Leave a Reply