Input your search keywords and press Enter.

Cuaca Panas Melampau: Amalkan Langkah Pencegahan Mencukupi

M Update, 11/8/2020 – Orang ramai dinasihatkan supaya mengamalkan langkah pencegahan ketika negara sedang dilanda cuaca panas pada masa ini.

Public Health Malaysia menerusi kenyataan dalam laman Facebooknya berkata, strok haba boleh berlaku jika seseorang mengalami keletihan haba pada waktu panjang.

“Panas. Malam pun panas. Cuaca sehari dua ni lain macam panasnya. Mandi malam pun airnya suam panas. Tekak pula rasa kering dan haus. Anda hadapi apa yang kami rasai?

“Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi menyatakan, Malaysia sedang mengalami cuaca panas untuk beberapa hari ini. Suhu boleh mencecah 36 darjah Celsius di sesetengah negeri.

“Pastikan anda mengambil langkah pencegahan yang mencukupi. Banyakkan minum air dan kurangkan aktiviti luar jika cuaca terlalu panas,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu turut menyenaraikan perbezaan gejala keletihan haba dan strok haba untuk panduan orang ramai.

“Jika anda mengalami gejala keletihan haba, pastikan anda mencegahnya daripada menjadi strok haba dengan mengamalkan langkah pencegahan. Pergi ke tempat sejuk seperti penghawa dingin, minum air jika sedar, mandi air sejuk dan lapkan badan dengan tuala sejuk jika anda pening, berpeluh melampau, kulit sejuk, pucat, muntah, loya, nadi laju dan lemah serta otot kejang.

Sebaliknya, jika sakit kepala berdenyut, tidak berpeluh, suhu badan meningkat, kulit panas, kering dan merah, muntah, loya, nadi laju dan kuat serta pengsan segera hubungi 999 dan cuba sejukkan badan sehingga bantuan sampai,” katanya. – HM Online