Input your search keywords and press Enter.

Kluster Benteng LD: Tiada Pegawai, Anggota Polis Positif COVID-19

M Update, 9/9/2020 – Tiada pegawai atau anggota polis dijangkiti COVID-19 bagi kluster benteng Lahad Datu, meskipun kes baharu yang dicatatkan hari ini meningkat ke 100, kata Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani.

Mengesahkan perkara berkenaan, beliau berkata pihaknya mengambil langkah berjaga-jaga dan membuat sanitasi di Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu, Sabah.

“Harap-harap biarlah keputusan negatif COVID-19 berterusan seperti sekarang ini,” katanya ringkas kepada Bernama.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini melaporkan kes baharu COVID-19 meningkat kepada tiga angka iaitu 100 kes berbanding 62 kes semalam, menjadikan jumlah kes positif kumulatif di Malaysia sebanyak 9,559 kes.

Daripada 100 kes baharu itu, 85 kes merupakan penularan dalam negara melibatkan 55 warganegara dan 30 bukan warganegara. Ia termasuk 26 kes di Sabah daripada kluster Benteng LD, 22 kes di Kedah melibatkan kluster Sungai di Kedah dan satu kes Perlis juga melibatkan kluster Sungai. – BERNAMA