Input your search keywords and press Enter.

Lawatan PM Ke Australia

M Update, 04/03/2024 – Datuk Seri Anwar Ibrahim selamat tiba di Melbourne, malam tadi, untuk memulakan lawatan rasmi sulungnya ke Australia atas jemputan rakan sejawat, Anthony Albanese.

PM akan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Tahunan Antara Pemimpin Malaysia-Australia Kedua (ALM),hari ini, 4 Mac dan Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Australia dari 5 hingga 6 Mac 2024 ini.

Malaysia dan Australia akan mempertimbangkan langkah-langkah untuk meningkatkan spektrum kerjasama yang luas, dengan disokong oleh rangka kerja Perkongsian Strategik Komprehensif, termasuk dalam perdagangan dan pelaburan, pendidikan, ekonomi digital serta keselamatan siber.

Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Australia pula diadakan bagi memperingati ulang tahun ke-50 Hubungan Dialog ASEAN-Australia, dengan ASEAN dan Australia akan mengkaji semula situasi kerjasama semasa dan membincangkan penambahbaikan kerjasama sedia ada dalam pelbagai bidang, termasuk peralihan tenaga, pembangunan modal insan, integrasi ekonomi, kesalinghubungan serta kerjasama maritim.

Sidang kemuncak khas itu dijangka menerima pakai Pernyataan Visi Pemimpin ASEAN-Australia dan Deklarasi Melbourne sebagai dokumen panduan untuk memajukan lagi hala tuju strategik perkongsian ASEAN-Australia.