Input your search keywords and press Enter.

Sukarelawan Uji Vaksin COVID-19 Maut

M Update, 22/10/2020 – Sukarelawan ujian klinikal vaksin Covid-19 yang dibangunkan Universiti Oxford disahkan meninggal dunia di Brazil, semalam. Setakat ini, sama ada lelaki itu menerima vaksin berkenaan atau plasebo tidak dapat dipastikan.

Ia adalah kematian pertama dilaporkan dalam ujian vaksin Covid-19 yang dijalankan di seluruh dunia. Penganjur kajian itu memaklumkan, penilaian bebas mengambil kesimpulan bahawa tidak timbul masalah membabitkan keselamatan dan pengujian vaksin terbabit yang dibangunkan bersama firma farmaseutikal, AstraZeneca malah ujian itu akan diteruskan.

Media melaporkan, sukarelawan terbabit adalah seorang doktor berusia 28 tahun yang bertugas sebagai barisan hadapan dan meninggal dunia akibat komplikasi COVID-19. Semua insiden perubatan yang signifikan, sama ada peserta berada dalam kumpulan kawalan atau kumpulan vaksin COVID-19, dinilai secara bebas.

Hasil penilaian teliti terhadap kes di Brazil, tiada kebimbangan mengenai keselamatan ujian klinikal itu. Malah penilaian bebas sebagai tambahan kepada yang dijalankan oleh pihak berkuasa Brazil, mengesyorkan ujian itu diteruskan,” menurut kenyataan dikeluarkan Oxford.

Setakat ini, katanya, kira-kira 8,000 sukarelawan telah menerima vaksin di Brazil, dan lebih 20,000 di seluruh dunia. Peserta kajian mestilah doktor, jururawat dan petugas lain dalam sektor kesihatan yang kerap menangani virus berkenaan.

Akhbar Brazil, Globo, melaporkan sukarelawan meninggal dunia itu adalah doktor muda yang sering merawat pesakit COVID-19 di bilik kecemasan dan unit rawatan rapi di dua hospital di Rio de Janeiro sejak Mac lalu.