Input your search keywords and press Enter.

Maybank IB Research Jangka Jumlah Jualan TIV 2021 Meningkat Kepada 600,000 Unit

M Update, 06/01/2021 – Maybank IB Research menjangka jumlah jualan keseluruhan industri (TIV) tahun ini meningkat hampir kepada 600,000 unit, atau purata 50,000 unit sebulan, didorong kesan pengecualian Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) enam bulan dan pelancaran model baharu.

Ia menyambut baik keputusan kerajaan untuk melanjutkan dasar pengecualian SST sehingga Jun 2021, katanya dalam satu nota penyelidikan.

“Ini adalah langkah popular dalam kalangan pembeli dan penjual atau jenama. Ia membantu mengekalkan momentum penjualan daripada kesan pengecualaian SST sejak pertengahan Jun 2020,” katanya.

Firma penyelidikan itu berkata, PERODUA akan terus mendahului jualan mengatasi PROTON

Katanya, ia akan didorong oleh pelancaran kenderaan utiliti sukan (SUV) kompak (D55L) pada suku kedua 2021, sementara model SUV X50 pula akan memberikan kesan sepanjang tahun kepada keseluruhan penjualannya pada 2021.

“Kedua-dua jenama nasional ini berpotensi menguasai lebih daripada 60 peratus jualan kenderaan di Malaysia.

“Sementara itu, Toyota dan Honda akan terus bersaing untuk mendapat kedudukan nombor satu dalam segmen bukan nasional,” katanya.

Maybank IB Research berkata, Bermaz Auto (BAuto) juga merancang untuk mengambil alih jenama lain.

Katanya, selepas mendapat hak pengedaran jenama Peugeot, hak pengedaran jenama Kia disebut-sebut menjadi sasaran utamanya.

Sehubungan itu, firma penyelidikan itu berkata BAuto, MBM Resources, Sime Darby, dan UMW antara saranan pembelian utama daripada segi penilaian, hasil dividen, perspektif penggabungan dan pengambilalihan.

-BERNAMA