Input your search keywords and press Enter.

Intipati Proklamasi Darurat COVID-19

M Update, 13/01/2021 – Berikut adalah intipati Proklamasi Darurat yang diisytiharkan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk memerangi wabak COVID-19, dan pengumuman susulan mengenainya oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.

  • Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberi perkenan Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan sehingga 1 Ogos sebagai langkah proaktif membendung wabak COVID-19 di Malaysia.
  • Proklamasi Darurat membolehkan Ordinan dimasyhurkan di bawah Fasal (2B) Perkara 150 bagi memperuntukkan kuasa-kuasa perlu untuk mengekang dan menghalang daripada berlakunya penularan wabak COVID-19 dengan lebih serius di negara ini.
  • Al-Sultan Abdullah perkenan tempoh pelaksanaan darurat itu atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif COVID-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.
  • Ordinan Darurat boleh dimasyhurkan oleh Yang di-Pertuan Agong bertujuan membendung wabak merangkumi hal berkaitan penggunaan aset hospital swasta, pengambilalihan sementara tanah, bangunan atau harta hospital swasta dan penggunaan sumber hospital swasta bagi tujuan merawat pesakit COVID-19.
  • Darurat yang disytiharkan bukan satu bentuk rampasan kuasa tentera dan perintah berkurung juga tidak akan dilaksanakan.
  • Pentadbiran kerajaan, Jemaah Menteri dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri akan terus berfungsi menurut Perlembagaan Persekutuan
  • Suatu ordinan boleh dimasyhurkan memperuntukkan kuasa penguatkuasaan kepada Angkatan Tentera Malaysia, selain kuasa yang sedia ada.
  • Angkatan Tentera Malaysia diperuntukkan kuasa membantu melaksanakan fungsi-fungsi berhubung dengan kesihatan awam yang dijalankan oleh pegawai awam berkaitan pandemik.
  • Aspek kawalan sempadan negara diperketatkan dengan memberi kuasa kepada anggota tentera, selain polis dan imigresen untuk menangkap pendatang tanpa izin atau sesiapa sahaja yang menceroboh sempadan negara.
  • Kerajaan awam akan terus berfungsi seperti biasa di peringkat Persekutuan dan negeri sepanjang tempoh pelaksanaan darurat.
  • Pilihan Raya Umum (PRU), Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Kecil (PRK) tidak akan diadakan sepanjang tempoh darurat dilaksanakan.
  • Jawatankuasa Khas Bebas, dianggotai Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang serta pakar kesihatan akan ditubuhkan bagi memperakukan bahawa pilihan raya telah selamat diadakan. 
  • Kerajaan beri jaminan badan kehakiman akan terus berfungsi untuk menegakkan hukum dan keadilan sepanjang tempoh pelaksanaan darurat dan tidak mencampuri urusan mahkamah.
  • Kuasa eksekutif Persekutuan meliputi perkara dalam kuasa perundangan negeri kecuali bagi hukum syarak dan adat Melayu, undang-undang atau adat anak negeri di Sabah dan Sarawak, agama, kewarganegaraan serta bahasa iaitu selaras dengan Fasal 6A Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.
  • Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun menyatakan kedudukan dan tanggungjawab semua ahli Parlimen sebagai wakil rakyat tidak berubah serta berterusan dalam tempoh darurat. 
  • Penggantungan sesi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri bukan bermakna kedua-duanya dibubarkan. 
  • Aktiviti ekonomi akan terus berfungsi sepanjang tempoh darurat tertakluk pematuhan prosedur operasi standard.