Input your search keywords and press Enter.

Kes LTTE : Keputusan Ikat Jamin Dua ADUN, CEO Esok

M Update, 17/12/2019 – Mahkamah Sesyen di sini, hari ini menetapkan esok untuk memutuskan sama ada dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan seorang ketua pegawai perbadanan yang menghadapi pertuduhan memberi sokongan kepada kumpulan pengganas LTTE, November tahun lepas dibenarkan diikat jamin atau sebaliknya.

Hakim Elesabet Paya Wan membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan daripada peguam Ramkarpal Singh yang mewakili ADUN Gadek, G. Saminathan, 34; ADUN Seremban Jaya, P. Gunasekaran, 60, dan ketua pegawai perbadanan, S. Chandru, 38, serta Timbalan Pendakwa Raya Mohd Izhanudin Alias dan Aliff Asraf Anuar Sharuddin.

Dalam prosiding hampir empat jam itu, Ramkarpal berhujah Mahkamah Sesyen mempunyai kuasa untuk mendengar permohonan ikat jamin dan ketiga-tiga anak guamnya wajar diberi jaminan berikutan pertuduhan yang dihadapi mereka bukan satu kesalahan serius dan berat serta bukan kes yang memperuntukkan hukuman yang tinggi seperti mana kes berat lain.

“Ketiga-tiga anak guam saya tidak akan melarikan diri dan akan memberikan kerjasama untuk hadir ke mahkamah selain rakyat memerlukan kehadiran dua wakil rakyat mereka iaitu Saminathan dan Gunasekaran bagi melaksanakan tugas sebagai ADUN di kawasan masing-masing, manakala Chandru perlu menjalankan tugas sebagai ketua pegawai sebuah perbadanan milik kerajaan negeri Melaka,” katanya.

Terdahulu, Mohd Izhanudin memohon mahkamah memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi mengikut Seksyen 177A Kanun Tatacara Jenayah selain membantah permohonan ikat jamin itu kerana hujahan jaminan dan kes di bawah akta kesalahan kesalamatan perlu dibicarakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Hakim Elesabet kemudian membenarkan pihak pembelaan mengemukakan permohonan jaminan terhadap ketiga-tiga tertuduh sebelum memerintahkan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Pada 29 Okt lepas, Saminathan, Gunasekaran dan Chandru didakwa memberi sokongan kepada kumpulan pengganas LTTE dalam satu majlis di Dewan Kasturi Ayer Keroh, Jalan Utama, Taman Ayer Keroh Heights di sini pada 8.30 malam hingga 10.50 malam, 28 Nov 2018.

Saminathan turut didakwa dengan satu lagi pertuduhan memiliki item yang berunsur perbuatan keganasan atau berkaitan dengan kumpulan pengganas LTTE di dalam sebuah telefon bimbit jenama Samsung Galaxy S9+ warna biru gelap di Pejabat Exco Perpaduan Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna, Jabatan Ketua Menteri, Kompleks Seri Negeri di sini pada 10.25 pagi, 10 Okt lepas.

Selain ahli keluarga tertuduh prosiding hari ini turut dihadiri Penasihat DAP Lim Kit Siang, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Dr Wong Fort Pin, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Melaka, Datuk Tey Kok Kiew dan ADUN Klebang Gue Teck.

Pada 29 Nov lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohd Nazlan Mohd Ghazali memutuskan Saminathan dibenar mengemukakan permohonan untuk diikat jamin memandangkan Seksyen 13 Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) adalah tidak berpelembagaan.

Pada 1 Nov lepas, Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur Rozina Ayob memutuskan bahawa terdapat merit dalam permohonan pembelaan mengikut Seksyen 13(2) SOSMA bagi merujuk isu perlembagaan berhubung jaminan ke Mahkamah Tinggi. Mahkamah itu membenarkan permohonan Saminathan dan 11 lelaki untuk merujuk isu perlembagaan berhubung jaminan ke Mahkamah Tinggi.

Selain tiga tertuduh itu, mereka yang lain ialah pemandu teksi V. Balamurugan, 37; penghantar surat S. Teeran, 38; peniaga besi buruk A. Kalaimughilan, 28; juruteknik S. Arivainthan, 27; penjaga stor S.Thanagaraj, 26; pengawal keselamatan M. Pumugan, 29; seorang guru sekolah menengah kebangsaan di Telok Panglima Garang, Selangor, Sundram Renggan @ Rengasamy, 52; ahli DAP V. Suresh Kumar, 43; dan peniaga B. Subramaniam, 57.

Kesemua mereka didakwa di Mahkamah Sesyen berasingan di beberapa negeri pada 29 dan 31 Okt lepas atas pertuduhan berkaitan kumpulan pengganas LTTE. – BERNAMA

Leave a Reply