Input your search keywords and press Enter.

PKP 2.0 : Semua Kawasan R&R & Hentian Sebelah Lebuh Raya Kekal Beroperasi

M Update, 14/01/2021 – Semua kawasan rehat dan rawat (R&R) dan hentian sebelah lebuh raya PLUS Malaysia Berhad (PLUS) di negeri yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kekal beroperasi antara jam 6 pagi hingga 8 malam.

Negeri berkenaan adalah Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Melaka dan Johor.

Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail, berkata operasi dihadkan untuk pembelian makanan dan minuman secara bungkusan sahaja bagi mengelakkan orang ramai berkumpul serentak pada satu-satu masa.

Katanya, waktu operasi bagi R&R dan hentian sebelah di negeri yang melaksanakan PKP Bersyarat (PKPB), iaitu Perak, Negeri Sembilan, Kedah dan Terengganu, pula adalah antara jam 6 pagi hingga 12 tengah malam.

Beliau menjelaskan, ruang makan di medan selera di R&R dan hentian sebelah sepanjang lebuh raya di negeri PKPB dibuka dan pelanggan dibenarkan menikmati makanan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dan mengamalkan penjarakan fizikal.

“Semua stesen minyak di sepanjang lebuh raya kendalian PLUS pula tetap dibuka seperti biasa selama 24 jam untuk kemudahan pelanggan. PLUS turut membuka surau di R&R dan hentian sebelah, namun operasi surau tertakluk kepada arahan lanjut Jabatan Agama Islam di negeri atau daerah terbabit.

“Kami menasihatkan semua pengunjung dapat mengamalkan penjarakan fizikal satu meter apabila beratur untuk pembelian makanan, sama ada untuk dibawa pulang atau menikmati makanan ketika berada di R&R,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Azman memaklumkan, pelanggan juga boleh membuat prapesanan makanan daripada gerai di R&R terpilih menerusi aplikasi PLUS, sekali gus lebih mudah untuk membawa pulang makanan.

Dalam pada itu, katanya, PLUS juga membantu polis membuat persediaan semasa pelaksanaan sekatan jalan di beberapa lokasi di plaza tol utama di negeri PKP, memandangkan perjalanan merentas daerah tidak dibenarkan untuk mengawal penularan COVID-19.

“Kami menasihatkan pelanggan mematuhi SOP keselamatan dengan pakai pelitup muka, mendaftar melalui aplikasi MySejahtera, menjalani pemeriksaan suhu badan dan amal penjarakan fizikal satu meter apabila beratur membeli makanan atau menggunakan kemudahan di R&R dalam tempoh ini.

“Di bawah amalan norma baharu bagi organisasi yang menguruskan premis yang dibuka kepada umum, pelanggan dilarang masuk atau melakukan transaksi sekiranya tidak memakai pelitup muka.

“Oleh itu, PLUS memohon kerjasama pelanggan supaya memakai pelitup muka dan mematuhi SOP ini ketika petugas memberikan perkhidmatan kepada pelanggan di lebuh raya,” katanya.