Input your search keywords and press Enter.

PGA Pertingkat Kawalan Di Laluan Tikus Sempadan Malaysia-Thailand

M Update, 14/01/2021 – Pasukan Gerakan Am (PGA) akan mempertingkatkan lagi rondaan dan kawalan di sempadan Malaysia-Thailand bagi mengekang kemasukan pendatang tanpa izin ke negara ini, khususnya melalui laluan tikus dalam usaha menangani penularan pandemik COVID-19.

Pegawai Pemerintah Batalion Ke-7 PGA (PGA7) Supt Azhari Nusi berkata usaha ini selaras dengan Pengisytiharan Proklamasi Darurat yang diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, bermula 12 Jan hingga Ogos 2021.

“Sepanjang tempoh darurat berkuat kuasa, masalah kemasukan pendatang tanpa izin akan ditangani dengan lebih serius agar penularan COVID-19 dapat dikawal.

“Lokasi tumpuan adalah di laluan tikus yang dikenal pasti menjadi kawasan kemasukan pendatang tanpa izin. Kita juga sentiasa mengumpul maklumat bagi mengekang perkara itu,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Beliau berkata operasi kawalan di sempadan akan dilakukan secara kerjasama dengan pelbagai agensi termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Pasukan Polis Marin (PPM), Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Mengulas lanjut, Azhari berkata seramai 11 pendatang tanpa izin berjaya ditahan sejak pasukannya mengambil alih tugas kawalan sempadan daripada Batalion Ke-8 PGA (PGA8) pada 16 Dis tahun lepas.

Katanya, mereka yang ditahan adalah lima warga Myanmar dan masing-masing dua individu berasal dari Bangladesh dan Thailand, manakala dua lagi adalah etnik Rohingya.

“Kita juga berjaya menahan dua kenderaan yang dipercayai terlibat dalam kegiatan mengangkut pendatang tanpa izin ke negara ini,” katanya.