Input your search keywords and press Enter.

PERMAI Bukti Sikap Proaktif Kerajaan, Tangani Kesan Ekonomi Dari PKP 2.0

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

M Update, 19/01/2021 – Pakej bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) berjumlah RM15 bilion yang diumumkan Perdana Menteri semalam, dilihat sebagai bukti sikap proaktif kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk menangani kesan ekonomi akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.

Ketua Penerangan Pemuda PN, Muhammad Hilman Idham, berkata pihaknya menyambut baik pengumuman pakej bantuan itu, selain yakin PERMAI dengan fokus yang strategik akan menjadi pemangkin kepada usaha pemulihan dan kerancakan ekonomi negara.

Beliau berkata, suntikan fiskal langsung melalui pelbagai inisiatif membela kebajikan rakyat dan menjamin kelangsungan perniagaan pasti akan memberi impak positif kepada ekonomi negara, sekali gus menjamin kesejahteraan rakyat khususnya anak muda.

“Pemuda PN optimis, pakej bantuan PERMAI juga akan memberdayakan ekonomi anak muda termasuk mengurangkan jumlah pengangguran dalam kalangan rakyat.

“Inisiatif kerajaan yang progresif seperti Program Subsidi Upah 3.0 yang bernilai RM1 bilion, Skim Mikrokredit bernilai RM1 bilion, Geran Khas Prihatin PERMAI bernilai RM650 juta dan kempen ekonomi digital untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta ‘Shop Malaysia Online’ dengan peruntukan RM300 juta pasti akan menyuntik dinamisme positif kepada aktiviti perniagaan, sekali gus membuka lebih banyak peluang ekonomi dan pekerjaan untuk generasi muda,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Muhammad Hilman berkata, sokongan berterusan untuk sektor kesihatan dan bantuan kebajikan kepada pihak terjejas terutama golongan rentan juga penting untuk melindungi keselamatan serta membela kebajikan rakyat.

Beliau berkata, ia juga sokongan berterusan kerajaan kepada petugas barisan hadapan yang cekal berkhidmat demi rakyat dan negara.

Justeru, katanya, ketika berdepan cabaran besar dalam suasana persekitaran ekonomi kini, Pemuda PN bertekad menjadi pemudah cara kepada golongan muda Malaysia supaya mereka dapat menikmati manfaat hasil inisiatif dilaksanakan itu.

“Kita berharap usaha ini mampu memperkukuh ikhtiar kerajaan PN menjana pertumbuhan ekonomi negara dan mengangkat martabat rakyat,” katanya.

Pakej Bantuan PERMAI diumumkan Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam, bagi meringankan beban rakyat yang terkesan akibat penularan wabak COVID-19 ketika ini.

Pakej bernilai RM15 bilion itu akan dilaksanakan menerusi 22 inisiatif dengan tiga matlamat iaitu memerangi pandemik COVID-19, memelihara kebajikan rakyat dan menyokong kelangsungan perniagaan.