Input your search keywords and press Enter.

Selamat Bersara Cikgu Fadli

M Update, 07/02/2024 – Siapa yang tak kenal Cikgu Fadli, seorang guru tular yang banyak mengkritik sistem pendidikan negara ke arah kebaikan bersama, Mohd Fadli Mohamed Salleh hari ini bersara awal.

Pengumuman bersara itu diumumkan di Facebook rasminya hari ini, berserta gambar sambutan majlis persaraannya di Sekolah Kebangsaan (1) Gombak.

Dalam muat naik yang sama, Mohd Fadli yang juga aktivis masyarakat turut menyatakan, khidmat 18 tahun sebagai seorang guru pada 3 Januari 2006 bernoktah pada bulan ini.

Cikgu Fadli, beliau ialah antara pendidik kerajaan yang lantang bersuara sekiranya mendapati terdapat kepincangan yang menyukarkan pembelajaran sekolah, malah beliau juga terkenal sebagai seorang aktivis masyarakat yang banyak menghulurkan bantuan kepada murid miskin dan rakyat dalam kesusahan.

Pada 2022, guru ini pernah dihadapkan Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan susulan pendedahan mengenai kepincangan silibus pendidikan negara.

Bagaimanapun, beliau didapati tidak bersalah dan tidak akan dikenakan sebarang tindakan tatatertib oleh Kementerian Pendidikan (KPM).

Sebelum itu, tular kisah Mohd Fadli yang dikatakan bakal dikenakan tindakan termasuk dibuang kerja atau diturunkan pangkat kerana mengkritik sistem pendidikan negara, dengan membantah silibus subjek Matematik bagi murid sekolah rendah, yang disifatkan terlalu tinggi dan tidak padan dengan keupayaan pelajar.

Cikgu Fadli berkata, beliau bersara awal bukan kerana kecewa dengan Kementerian Pendidikan, sebaliknya mahu mengelakkan isu lain pada masa hadapan.