Input your search keywords and press Enter.

PKP 2.0 : Buruh Binaan Bangladesh Langgar SJR Didenda RM500

M Update, 25/01/2021 – Tindakan seorang buruh binaan warga Bangladesh melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 di sekatan jalan raya (SJR) untuk berjumpa rakannya mengundang padah, apabila didenda RM500 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Majistret M. Barath turut memerintahkan Shahabuddin, 32, yang mengaku bersalah atas pertuduhan itu dipenjara sehari jika dia gagal membayar denda berkenaan.

Shahabuddin didakwa bergerak dari satu tempat iaitu Jalan Teknologi 3/6, Kota Damansara ke Plaza Tol Kota Damansara di dalam kawasan tempat jangkitan pada 2.10 petang, 13 Jan lepas.

Lelaki itu didakwa melanggar Peraturan 4 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam kawasan jangkitan) 2021 yang boleh dihukum di bawah Peraturan 16 (1) peraturan sama yang membawa hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara yang boleh sampai enam bulan atau kedua-duanya.

Terdahulu, Shahabuddin yang diwakili peguam Kenny Tan Cheng Yee memohon denda minimum dengan alasan ia kesalahan pertama anak guamnya.

Timbalan Pendakwa Raya Hakim Amir Abdul Hamid memohon hukuman setimpal agar dapat memberi pengajaran kepada tertuduh dan orang awam supaya tidak melakukan kesalahan sama.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, tertuduh yang memandu kereta telah ditahan sepasukan polis ketika melalui SJR di Plaza Tol Kota Damansara selepas gagal menunjukkan sebarang surat kebenaran bekerja.