Input your search keywords and press Enter.

San Francisco larang jualan e-rokok

M Update, 26/06/2019 – San Francisco menjadi bandar utama pertama di Amerika Syarikat yang melaksanakan larangan menjual dan mengeluarkan rokok elektronik (e-rokok).

Semalam, badan perundangan bandar raya itu, sebulat suara meluluskan ordinan yang dianggap penyokongnya sebagai amat perlu.

Ia susulan masalah kesihatan awam yang semakin ketara, akibat peningkatan pengambilan vape dalam kalangan remaja.

Mengikut ordinan itu, produk e-rokok yang dijual di kedai atau secara dalam talian di San Francisco, perlu mendapat kelulusan pihak berkuasa kesihatan persekutuan, yang tidak wujud ketika ini.

Peningkatan populariti e-rokok, iaitu peranti menggunakan bateri amat membimbangkan pihak berkuasa kesihatan Amerika Syarikat, kerana ia membolehkan penggunanya menyedut cecair nikotin, yang sering menggunakan perisa buah-buahan.

Malah, jumlah golongan muda Amerika Syarikat yang mengambil e-rokok meningkat sebanyak 1.5 juta pada 2018.

Ketika ini, kira-kira 3.8 juta pengguna e-rokok di negara itu adalah pelajar sekolah menengah dan tinggi.

San Francisco adalah lokasi pengeluar e-rokok terkenal di pasaran, iaitu Juul.

Sementara itu, Datuk Bandar San Francisco, London Breed mempunyai tempoh 10 hari untuk menandatangani undang-undang itu, dan beliau mengesahkan akan berbuat demikian.

“Kita perlu mengambil tindakan untuk melindungi kesihatan golongan remaja di San Francisco dan menghalang generasi akan datang daripada mengalami ketagihan terhadap produk ini.

“Syarikat e-rokok juga sering menyasar anak kita dalam iklan mereka dan menyebabkan mereka ketagihan terhadap produk nikotin,” kata Breed dalam satu kenyataan sebelum proses undian itu berlangsung, semalam.

Bagaimanapun, pengkritik menganggap peraturan itu menyukarkan orang ramai yang cuba mencari jalan alternatif berbanding rokok biasa.

Dalam pada itu, e-rokok dikatakan tidak mengandungi produk penyebab kanser yang sering ditemui dalam tembakau. – AFP

Leave a Reply