Input your search keywords and press Enter.

COVID-19 : Kerajaan Sasar 75,000 Orang Disuntik Vaksin Sehari

M Update, 27/01/2021 – Kerajaan menyasarkan seramai 75,000 orang akan menerima suntikan vaksin dalam tempoh sehari program vaksinasi COVID-19 kebangsaan bermula, di 600 pusat vaksinasi seluruh negara mulai Mac.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, berkata 75,000 suntikan sehari adalah sasaran awal kerajaan.

Sasaran seterusnya, beliau berkata ia bergantung pada bekalan supaya 150,000 suntikan sehari boleh dilaksanakan meliputi dos kedua, bagi membolehkan vaksinasi terhadap 27 juta orang diselesaikan bersamaan 80 peratus populasi negara ini, pada Mac tahun depan atau paling cepat hujung tahun ini.

Selain itu, beliau juga peka dengan kemungkinan berlaku masalah kelewatan bekalan membabitkan vaksin dibangunkan Pfizer dan AstraZeneca, termasuk yang dihasilkan firma China serta Rusia.

“Portfolio vaksin akan terus diimbangi dan terus disesuaikan supaya kita dapat perolehi jumlah sepatutnya sehingga suku keempat tahun ini.

“Kita mahu berusaha untuk mencapai seramai mungkin pada suku kedua, suku ketiga dan suku keempat. Kita telah kenalpasti kira-kira 600 kawasan untuk vaksinasi. Selain itu, kita juga mengenalpasti kawasan lain seperti stadium atau tempat yang luas.

“Saya fikir jika kita pertimbang dalam 75,000 orang sehari, dengan kombinasi 600 tapak, tapak KKM (Kementerian Kesihatan) termasuk klinik swasta dan hospital swasta ditambah kawasan vaksinasi luas yang saya sedang aturkan…jika rancangan berjalan lancar, kita boleh selesaikan paling cepat pada Disember,” katanya sambil menambah sekiranya pusat berkenaan beroperasi 24 jam.

Beliau berkata demikian dalam temubual dengan CodeBlue semalam.

Khairy berkata, kerajaan turut melakukan pemetaan tapak vaksinasi berdasarkan kepadatan populasi dan jangkaan permintaan serta anggaran berapa ramai orang boleh menerima suntikan di pusat berkenaan setiap hari, bagi mereka yang tinggal dalam radius 10 kilometer (km).

Dalam tempoh sebulan atau kurang, beliau berharap akan memperoleh jangkaan memuaskan bila program itu boleh diselesaikan sekiranya ada bekalan.

Beliau berkata, 600 tapak vaksinasi yang dikenalpasti adalah hospital KKM dan klinik kesihatan; hospital universiti; klinik dan hospital Angkatan Tentera Malaysia (ATM), klinik swasta serta kemudahan kesihatan swasta.

Jelasnya, perbincangan perlu diadakan di peringkat kerajaan negeri dengan klinik swasta bagi melihat kapasiti vaksinasi dan lokasi masing-masing.

“Kadar vaksinasi di klinik swasta…kita unjurkan tidak akan terlalu tinggi.

“Ini lebih kepada kemudahan. Jika warga tua tinggal di kawasan tertentu yang mungkin jauh dari hospital atau tapak berkenaan, mereka boleh pergi ke klinik swasta.

“Kita sudah senaraikan dalam laman web serta (aplikasi) MySejahtera yang mana anda boleh buat temujanji,” katanya.

Khairy turut memaklumkan, kerajaan akan menambah jumlah kakitangan vaksinasi daripada 7,000 kepada 10,000 orang bergantung pada bilangan tapak vaksinasi.

Selain doktor yang tergolong kakitangan vaksinasi, beliau berkata terdapat juga pembantu perubatan, jururawat, penyelia jururawat, pelajar perubatan, sukarelawan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terlibat sama.

“Kita bukan hanya menggerakkan mereka dalam perkhidmatan kesihatan, malah komuniti sukarelawan seperti Bulan Sabit Merah, St John Ambulance dan seberapa ramai mungkin untuk terlibat sama. Ramai sukarelawan,” katanya.