Input your search keywords and press Enter.

Keganasan Jakarta Dirancang, Perusuh Diberi Bayaran – Polis

M Update, 23/05/2019 – Rusuhan yang berlaku susulan bantahan di depan ibu pejabat Agensi Pengawal Selia Pilihan Raya (Bawaslu) di tengah ibu kota Indonesia di sini, malam kelmarin dan pagi semalam sudah dirancang, kata jurucakap polis, Inspektor Jeneral M Iqbal, semalam.

“Kami sudah menahan 58 suspek pencetus rusuhan. Ada petunjuk perusuh kebanyakannya dari luar Jakarta dan dibayar untuk merusuh,” kata M Iqbal pada sidang media di Pejabat Penyelaras Politik, Perundangan dan Menteri Keselamatan di Jakarta Tengah

Katanya, penunjuk perasaan dalam bantahan awal di depan ibu pejabat agensi berkenaan melakukannya dengan aman dan bekerjasama dengan polis.

“Penyelaras bantahan meminta kebenaran untuk berbuka puasa bersama dan menunaikan solat Tarawih, yang kami benarkan walaupun undang-undang menyatakan bantahan perlu berakhir pada jam 6.30 petang,” katanya.

Katanya, pada jam 9.00 malam, polis meminta mereka bersurai, yang berlaku tanpa sebarang kejadian tidak diingini.

“Namun kemudian pada jam 11.00 malam, sekumpulan perusuh yang tidak diketahui datang dari mana tiba dan mula merosakkan sekatan keselamatan di depan ibu pejabat agensi,” katanya.

Polis kemudian mengusir mereka, yang mula membaling objek seperti batu dan bom api ke arah pasukan keselamatan, kembali ke Tanah Abang.

M Iqbal berkata, kebanyakan perusuh bukan penduduk tempatan, dan polis mendapat bantuan menenangkan perusuh daripada pemimpin Barisan Pertahanan Islam, yang beribu pejabat di kawasan itu. — Agensi

Leave a Reply