Input your search keywords and press Enter.

Mesin Penapis Air Antara Punca Bil Elektrik Tinggi – TNB

M Update, 03/03/2021 – Mesin penapis air yang mempunyai fungsi pemanas dan penyejuk dikenal pasti menjadi antara punca peningkatan bil elektrik terutama ketika cuaca panas yang sedang melanda negara.

Ketua Retail Tenaga Nasional Berhad (TNB) Selangor, Ismail Lathifi Teh, berkata peralatan elektrik yang mempunyai fungsi sedemikian seperti peti sejuk dan alat penyaman udara serta kini penapis air minuman menggunakan tenaga elektrik yang banyak untuk mengekalkan suhu berkenaan terutama ketika cuaca panas.

“Ketika cuaca panas seperti sekarang, mesin yang mempunyai kompresor akan menggunakan tenaga lebih banyak untuk mengekalkan suhu.

“Jadi lebih kerap kita membuka pintu peti sejuk dan lebih kerap kita mengambil air sejuk daripada penapis air di rumah, lagi banyak tenaga elektrik akan digunakan peralatan berkenaan bagi mengekalkan suhu sejuk,” katanya di sini, hari ini.

Ismail Lathifi berkata, contohnya, jika tangki penapis minuman yang menyimpan air sejuk habis, ia akan diisi air yang baharu dan kompresor akan berfungsi menyejukkan air berkenaan.

Jika lebih banyak isian semula berlaku, lebih kerap kompresor berkenaan berfungsi dan ini akan menyebabkan peningkatan penggunaan elektrik.

Sementara itu, Ismail Lathifi turut menasihati pengguna supaya menetapkan pemasa pada alat penyaman udara masing-masing, selain menetapkan suhu antara 24 hingga 26 darjah Celcius saja bagi menjimatkan penggunaan elektrik.

“Pengguna digalakkan menggunakan pemasa yang ada pada penyaman udara masing-masing dan menetapkan ia ditutup awal pagi kira-kira jam 2 pagi dan ke atas kerana ketika itu cuaca mulai sejuk dan memasang kipas untuk mengekalkan suhu sejuk dalam rumah,” katanya.

Beliau turut menyarankan pengguna melakukan servis terhadap penyaman udara secara berkala supaya ia dapat berfungsi dengan lebih efisien dan menjimatkan.

“Saya dapat aduan mengatakan pengguna tidak menggunakan penyaman udara, tetapi bil elektrik mereka tetap melambung. Mereka lupa bahawa barang elektrik lain juga menggunakan elektrik,” katanya. – BERNAMA