M Update, 15/1/2019 – Seorang wanita hamil tujuh bulan yang ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) malam tadi, kerana disyaki menagih dadah terpaksa dikejarkan ke hospital selepas mengadu mengalami sakit untuk bersalin.
Wanita berusia awal 30-an itu ditahan bersama teman lelakinya yang berusia lingkungan 30-an di sebuah rumah di Kampung Naga, di sini, pada jam 11 malam tadi.
Dia bagaimanapun mengalami komplikasi hendak bersalin kira-kira jam 5 pagi tadi ketika ditahan di Pejabat AADK untuk proses soal siasat.
Ketua Operasi AADK Bukit Kayu Hitam, Megat Rodzep Megat Teh, berkata pada mulanya pihaknya bersama AADK Kubang Pasu melakukan operasi mengesan wanita terbabit yang gagal melaporkan diri selepas dia ditahan atas kesalahan menagih dadah pada Oktober tahun lalu.
Beliau berkata, anggotanya cuba mengesan wanita itu di rumahnya di Kampung Natoi, Changlun, namun dia tiada di rumah.
“Pemeriksaan lanjut di rumah itu menemui dua lelaki berusia 20-an dan 40-an sedang bersembunyi di luar rumah berkenaan dan salah seorang adalah abang kepada wanita berkenaan.
“Disebabkan timbul syak mengapa mereka bersembunyi dalam keadaan takut, anggota kami menahan mereka untuk siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.
Megat Rodzep berkata, selepas disoal siasat, pihaknya menemui petunjuk dan berjaya mengesan rumah kedudukan rumah keluarga wanita di Kampung Naga di sini.
Bagaimanapun katanya, ibu wanita itu enggan memberi kerjasama dan mendakwa anaknya tiada di rumah kerana mempunyai urusan di Johor.
“Namun hasil maklumat dan risikan yang diperoleh, kami berjaya mengesan wanita itu di sebuah rumah berhampiran rumah ibunya dan dia ditahan bersama seorang lelaki dipercayai teman lelakinya berusia sekitar 30-an.
“Berikutan itu, kesemua mereka yang ditahan dibawa di pejabat AADK untuk disoal siasat dan memberi keterangan,” katanya.
Megat Rodzep berkata, pada kira-kira jam 5 pagi tadi wanita itu mengadu sakit hendak bersalin dan anggotanya kemudian menghubungi ambulans untuk membawanya ke hospital terdekat.
Katanya, dua anggota wanita AADK turut membantu menenangkan wanita terbabit sehingga ambulans tiba.
“Setakat ini kita belum melakukan ujian saringan air kencing terhadap wanita itu, namun hasil ujian saringan awal air kencing terhadap teman lelaki, abang dan adik wanita itu mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah 1983,” katanya.
Sumber : Berita Harian