M Update, 16/1/2019- KUALA LUMPUR: Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah akan mengetuai delegasi Malaysia ke Thailand bagi menghadiri Sesi Permukiman Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN di Chiang Mai, Thailand, hari ini hingga Jumaat dan seterusnya mengadakan lawatan rasmi ke Bangkok, Thailand pada Sabtu.
Menurut Wisma Putra dalam satu kenyataan hari ini, Thailand merupakan Pengerusi ASEAN pada tahun ini dengan tema ‘Advancing Partnership for Sustainability’ dan sesi permukiman tersebut merupakan mesyuarat berjadual pertama negara-negara anggota ASEAN.
Mesyuarat yang akan dipengerusikan Menteri Luar Negeri Thailand itu turut melibatkan penyertaan Menteri-Menteri Luar ASEAN, Setiausaha Agung ASEAN dan Pegawai-Pegawai Kanan dari kesemua negara anggota ASEAN.
“Sesi permukiman yang akan didahului oleh Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan ASEAN itu akan membincangkan inisiatif-inisiatif untuk menggerakkan lagi agenda pembinaan Komuniti ASEAN dan susulan pelaksanaan keputusan-keputusan yang telah dicapai pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-33 di Singapura tahun lepas.
“Mereka juga akan bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa serta langkah-langkah bagi mengukuhkan hubungan ASEAN dengan rakan-rakan dialognya,” kata kenyataan itu. SUMBER:BERNAMA