Input your search keywords and press Enter.

Kearah Pengukuhan Sistem Pendidikan Negara

M-Update,23/1/2019, KUALA LUMPUR,- Malaysia berhasrat untuk mengukuhkan sistem pendidikan dengan memberi penekanan kepada aspek kemanusiaan dan berasaskan nilai, dengan memupuk budaya kebahagiaan, kasih sayang dan saling menghormati, kata Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik. Beliau berkata ketiga-tiga budaya itu diharap dapat mewujudkan persekitaran pembelajaran yang menyeronokkan, selamat dan positif di mana kesejahteraan sosial dan emosi anak-anak sekolah diberi keutamaan.

“Sebahagian daripada usaha kita untuk membina sistem pendidikan berasaskan nilai ini, termasuk bekerja dengan pihak yang berada di luar daripada sistem pendidikan. “Sesetengah perkara seperti pembelajaran sosial dan emosi tidak boleh hanya disandarkan kepada tanggungjawab sekolah dan guru-guru saja, kita bekerjasama dengan ibu bapa dan juga lain-lain badan bukan kerajaan (NGO) dalam usaha ini,” katanya semasa berucap Forum Pendidikan Dunia 2019 di London.

Maszlee adalah antara 62 penceramah dari beberapa negara di forum tiga hari yang bermula semalam, yang menyampaikan ucapan di bawah tajuk “Pembelajaran Sosial dan Emosi serta Perkembangan Baru dalam Pedagogi”. Maszlee berkata peranan ibu bapa penting dalam perkara ini, semasa kerajaan menggandakan usaha meningkatkan lagi penglibatan para ibu bapa dalam pendidikan anak-anak.

“Ketika ini lebih daripada 90 peratus sekolah-sekolah Malaysia menyaksikan ibu bapa terlibat dalam kebanyakan acara-acara sekolah. Di masa hadapan, kami merancang untuk menjadikan hubungan ini lebih bermakna,” katanya. Beliau seterusnya turut menekankan keperluan untuk perkongsian dengan pemegang taruh luar seperti badan-badan bukan kerajaan dan sektor swasta, yang turut membantu dalam usaha-usaha kementerian,” katanya.

Sebagai contoh Maszlee berkata Project Kindness yang dilancarkan di Malaysia dengan objektif membawa penglibatan para pelajar kepada aktiviti-aktiviti pembelajaran.”Salah seorang pelajar, Saiful Ikhwan, dipilih mewakili Malaysia di Persidangan Kemuncak Pembangunan Belia Afrika November lepas, bagi membangunkan the #ENDviolence Youth Manifesto,” katanya.

Maszlee juga percaya penerapan teknologi digital dalam pendidikan telah mempercepatkan perubahan dalam tingkah laku, nilai dan tindakan, yang seterusnya mempengaruhi cara mereka belajar serta kemampuan untuk belajar.


“Jargon baru dan terma-terma seperti big data, pembelajaran mesin dan kepintaran buatan, kini mendominasi persekitaran dasar-dasar pendidikan,”


Pada masa akan datang, Maszlee berkata, kerja-kerja pendidikan memerlukan peserta industri utama untuk menjadi lebih berkolaborasi dan kreatif, di samping penting bagi pendidik untuk mengutamakan pembelajaran sosial dan emosi di kalangan pelajar.

— BERNAMA

Leave a Reply