Input your search keywords and press Enter.

RENTAP PAHLAWAN IBAN

Rentap merupakan seorang pahlawan Dayak (Iban) terkenal dalam sejarah Sarawak. Dia merupakan salah seorang pemimpin penentang kepada pemerintahan Raja Putih James Brooke.Rentap mendapat pengalaman berperang daripada pernyertaannya dalam ekspedisi-ekspedisi perang yang diketuai oleh Orang Kaya Pemamcha Dana “Bayang” terutamanya ke kawasan-kawasan di sekitar muara Batang Kapuas di Kalimantan Barat, Indonesia. Rentap telah dilantik sebagai seorang “ayam sabong” (ketua pahlawan) oleh Dana “Bayang”. Sewaktu salah satu expedisi ini, Dana “Bayang” letah memperolehi sebuah meriam besar yang dinamakan “Bujang Timpang Berang” yang dicatatkan tahun 1515 daripada pihak Belanda sementara Rentap telah terkenal dengan keberaniannya melawan dan mengalahkan musuh sebuah perahu dan berjaya merampas sebilah keris berhulukan emas daripada seorang putera diraja.

 Pada 19 Ogos 1844 di Karangan Peris dalam daerah Skrang, Libau RENTAP bersama pasukannya telah ulung kalinya bertempur dengan pasukan Rajah James Brooke dan Captain Keppel daripada Tentera Laut DiRaja Inggeris. Pada pertempuran ini, antara yang terkorban daripada pasukan Brooke ialah Datu Patinggi Ali dan pasukan perisiknya dari Sarawak yang telah mara duluan daripada pasukan utama kecuali hanya seorang yang masih hidup dan seorang Inggeris bernama George Steward. Selepas pertemburan di Beting Maru, pemerintah Brooke telah membina sebuah kubu di Nanga Skrang dengan tujuan menyekat pergerakan orang-orang Skrang ke arah Batang Lupar dan seterusnya keluar ke Laut China Selatan untuk bekerjasama dengan Linggir “Mali Lebu” dari Paku dan Aji Apai Limba dari Padeh bagi mengamalkan kegiatan mengayau kepala manusia dan membeli barangan keperluan seperti garam atau menetang pemerintahan Brooke di Sarawak pada ketika itu.

Pada awal tahun 1853, Rentap telah mengetuai pasukan orang Iban yang menyerang pasukan Brooke di kubu Nanga Skrang yang diketuai oleh William Brereton. Berlakulah pertempuran yang sengit di antara kedua-dua pihak di Lintang Batang. Semasa pertempuran itu, seorang menantu Rentap bernama Layang telah membunuh Alan Lee dengan lembingnya dan Willima Brereton telah tercedera tetap masih dapat melarikan diri. Rentap dengan segera membawa pasukannya pulang ke ulu Sungai Skrang. Walau bagaimanapun, pengikut Brooke kemudiannya telah membinasa dan membakar 20 buah rumah panjang tempat kediaman para pengikut Rentap.

Dengan itu, Rentap terpaksa berundur dan membina tempat kediaman di Sungai Lang iaitu di hulu Sungai Skrang. Semasa mempertahankan kubu ini, pasukan Rentap telah melaung-laungkan semangat perjuangan mereka yang kental iaitu “Agi Bedarah, Agi Ngelaban” yang bermaksud “Selagi masih berdarah, Selagi itulah melawan” dan slogan yang paling terkenal hingga ke hari ini ialah “Agi Idup, Agi Ngelaban” yang bermaksud “Selagi Hidup, Selagi itulah melawan”. Ada beberapa orang dari pasukan Brooke yang mara menghampiri kubu Rentap telah ditembak dan terkorban. Namun angkatan Brooke berjaya menyerang rumah panjang Rentap ini pada Ogos 1854 kerana tembakan meriam merobohkan pagar kayu di sekeling rumah mereka dan pasukan Rentap hanya ada bedil kecil sahaja untuk membalas tembakan meriam. Rentap sendiri telah tercedera semasa pertempuran ini. Jadi, Rentap dengan sebilangan pengikut beliau berundur dan membina kubu di sebuah bukit yang bernama Bukit Sadok.

Kubu Bukit Sadok ini sukar untuk ditakluki kerana kedudukannya di atas puncak bukit yang tinggi dan dikelilingi oleh tebing-tebing curam yang sukar untuk didaki. Juga hanya ada satu jalan sempit di atas gaung yang begitu dalam untuk sampai ke kubu Rentap ini. Sekeliling kubu ini diperkuatkan oleh pagar kayu tebelian yang keras dan setebal dua kaki. Rentap juga ada sebatang meriam yang besar untuk mepertahankan kotanya, yang dikenali sebagai “Bujang Timpang Berang”. Meriam ini telah dibawa oleh rakan seperjuangannya iaitu Aji Apai Limba yang merupakan anak kepada Orang Kaya Pemancha Dana “Bayang”. Aji telah terkorban ditembak oleh pasukan Brooke di Sungai Langit sebelum menyerang Rentap di kubunya di Bukit Sadok.

Kerajaan Brooke telah membuat tiga percubaan untuk menangkap Rentap di Bukit Sadok. Cubaan pertama adalah dalam Jun 1857. Semasa serangan ini, seorang anggota pasukan Brooke yang bernama Abang Aing telah ditembak dan terpaksa dibawa turun ke bawah bukit. Melihat kejadian ini, pasukan Rentap telah menjerit kegembiraan dan memukul gong mereka. Dalam tahun 1858, pasukan Brooke buat kedua kalinya menyerang kubu Rentap di atas Bukit Sadok tetapi tembakan meriam mereka tidak dapat menembusi pagar kubu Rentap. Jadi, pasukan Rentap telah melaungkan dengan megahnya kepada pasukan Brooke untuk membawa meriam yang lebih besar lagi pada masa akan datang.

Lumbung/Makam Pahlawan Rentap

Namun pada tahun 1861, barulah serangan pasukan Brooke yang ketiga kalinya berjaya menguasai Bukit Sadok setelah membawa sebuah meriam besar yang dikenali sebagai “Bujang Sadok” untuk menembak dan merobohkan pagar kubu Bukit Sadok. Sebelum pertempuran ini, pasukan Brooke telah menawarkan pengampunan kepada abang-abang arwah Aji yang telah ditembak mati oleh pasukan Brooke di Sungai Langit iaitu Nanang dan Luyoh supaya mereka menyerah diri dan dihukum membayar 40 biji tempayan rusa. Tawaran yang sama dicadangkan kepada Rentap dengan denda 12 biji tempayan, musnahkan kubu Bukit Sadok dan meninggalkan kubu itu dengan segera. Tetapi Rentap menolak tawaran ini walaupun telah diberitahu bahwa pasukan Brooke ada membawa sebuah meriam yang besar kali ketiga ini. Semua wanita dan kanak-kanak telahpun diarahkan untuk meninggalkan kubu tersebut. Semasa pertempuran dengan pasukan Brooke, seorang pengendali meriam Rentap dan beberapa rakannya telah terkorban kerana terkena tembakan meriam pasukan Brooke. Seterusnya, kubu dan rumah tempat kediaman Rentap dan orang-orangnya dibakar oleh pasukan Brooke pada 20 Oktober 1861.

Tetapi Rentap telah berundur ke Bukit Lanjak Entimau yang menjadi punca-punca air Batang Skrang, Lemanak dan Engkari. Kemudian beliau turun ke Ulu Entabai iaitu sebuah sungai cawangan kepada Sungai Kanowit dan Julau di mana beliau membina sebuah kubu di Bukit Stulak. Pada usia tuanya, Rentap dan pengikutnya berpindah ke Bukit Sibau iaitu kawasan yang terletak di Ulu Wak, Pakan. Beberapa tahun kemudian, Rentap meninggal dunia di situ pada usia lebih kurang 70 tahun. Mayat dan keranda Rentap tidak ditanam dalam tanah seperti biasa tetapi diletakkan dalam sebuah pondok sebagai tanda hormat kepada seseorang yang dianggap seorang pahlawan dan bangsawan. Setelah daging mayat beliau telah habis reput, tulang-tulang kerangka beliau telah disimpan di dalam tempayan oleh kerabat keluarga beliau. Inilah tanda pernghormatan yang paling tinggi untuk seseorang yang telah berjasa.

Rentap merupakan pejuang sejati kerana beliau tidak pernah tunduk kepada pemerintahan Brooke sehingga ke akhir hayatnya. Sehingga ke hari ini makam pahlawan Rentap telah di baik pulih oleh kerajaan negeri Sarawak bagi mengenang jasanya. Beliau meninggal dunia pada tahun 1863.

Leave a Reply