M Update, 24/1/2019 – Ops Selamat sempena Sambutan Tahun Baru Cina akan bermula pada 29 Januari sehingga 12 Februari ini. OP ini bertujuan untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya sempena musim perayaan. Ops ini akan tertumpu kepada kesalahan seperti memandu melebihi had laju dibenarkan, menggunakan telefon bimbit ketika memandu, menggunakan lorong kecemasan, potong barisan dan langgar lampu isyarat.
Selain polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang akan menempatkan 90 anggotanya di tiga kawasan rehat dan rawat (R&R) Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1), sepanjang Ops Selamat ini.
Semua anggota bomba itu akan ditempatkan di R&R Gambang, R&R Temerloh dan R&R Genting Sempah arah ke timur bagi memudah dan mempercepat kehadiran pihak bomba ke kawasan operasi sekiranya berlaku kemalangan atau sebarang operasi menyelamat.
Tujuannya adalah sekiranya berlaku kemalangan atau tragedi anggota bomba akan maklum dengan kadar segera dan akan sampai ke kawasan operasi di bawah masa 30 minit.
Selain itu, satu ambulans bomba dan jentera bomba turut ditempatkan di setiap R&R.
Kepada semua pengguna jalan raya, pandulah kenderaan secara berhemah dan berhati-hati tambah pula di musim cuti perayaan ini. Jangan pentingkan diri. Hormati pengguna lain dan rancang perjalanan anda sebaiknya.
Sumber : Berita Harian