Input your search keywords and press Enter.

Larangan ke atas Huawei tunggu laporan rasmi SKMM

M Update 29/1/2019 – Kerajaan sedang menunggu laporan rasmi daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Agency Keselamatan Siber Negara (NACSA) sebelum memutuskan sama ada untuk mengharamkan Huawei daripada membina infrastruktur teknologi generasi kelima (5G) di Malaysia susulan daripada isu mengatakan bahawa syarikat tersebut menjalankan aktiviti pengintipan siber.

Nacsa berada di bawah bidang kuasa Majlis Keselamatan Negara telah ditubuhkan pada Februari 2017. Ianya bertujuan untuk menjamin dan mengukuhkan keselamatan Malaysia terhadap ancaman siber dengan menyelaraskan sumber-sumber dalam bidang keselamatan siber.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, sebelum ini dilaporkan berkata kerajaan akan menjalankan kajian sebelum membuat keputusan mengenai penyertaan Huawei dalam membina infrastruktur 5G di Malaysia. Walau bagaimanapun, sehingga sekarang kerajaan masih belum menemui apa-apa kesalahan yang dilakukan oleh syarikat tersebut. Kerajaan juga tiada rancangan untuk menghentikan Huawei daripada beroperasi di Malaysia.

Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan (CEP), Tun Daim Zainuddin juga pernah berkata, Malaysia perlu berhati-hati dengan teknologi generasi kelima (5G) dipelopori China yang mencetuskan kebimbangan dalam kalangan negara Barat ketika ini. Daim berkata, wujud alasan yang kukuh untuk Malaysia ‘takut’ dengan teknologi 5G itu, yang dikhuatiri menjadi instrumen kegiatan pengintipan siber oleh China.

Huawei telah diharamkan daripada melancarkan 5G di beberapa negara lain, di tengah-tengah dakwaan aktiviti ‘cyberspying’, walaupun tiada bukti yang telah dikemukakan. Syarikat ini telah diharamkan membuat sebarang bidaan untuk mendapatkan tawaran kontrak kerajaan Amerika Syarikat kerana bahagian perisikan telah mempersoal hubungan pengasas Huawei Ren Zhengfei’s dengan pihak komunis China.

Amerika Syarikat juga telah memberi amaran kepada rakan-rakan antarabangsanya (international peers) bahawa peralatan Huawei mungkin digunakan sebagai “back door” untuk kegiatan pengintipan siber. Selain itu, pada bulan lepas, peralatan Huawei juga telah dikeluarkan daripada sistem komunikasi yang dibangunkan untuk perkhidmatan kecemasan di United Kingdom.

Dilaporkan juga bahawa Jerman juga sedang melakukan perbincangan untuk memperkenalkan piawaian sistem keselamatan yang lebih ketat untuk menghalang Huawei daripada melancarkan 5Gnya, manakala Australia dan New Zealand telah menguatkuasakan larangan yang sama.

Malaysia dijangka memperkenalkan teknologi 5G dalam masa terdekat dimana penggunaan secara menyeluruh adalah pada 2023.

Sumber : FMT

Leave a Reply