Input your search keywords and press Enter.

Heroku Abang TNB

M Update, 30/1/2019 – Detik mencemaskan yang pernah ditempuh pembaca meter Tenaga Nasional Berhad (TNB), Mohd Ridzuan Azman, 26, ketika meredah api untuk menyelamatkan dua remaja dalam kejadian 17 Disember lalu, mendapat pengiktirafan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor, hari ini.

Mohd Ridzuan yang berasal dari Batu Pahat berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 12.30 tengah hari di Jalan Kasturi, Taman Skudai Baru, ketika beliau menjalankan tugas membaca meter sebelum melihat kepulan asap dari sebuah rumah berhampiran.

Dia bergegas ke rumah berkenaan dengan menaiki keretanya sambil menjerit dan menyembunyikan hon memberi amaran kepada penghuni selepas mendapati bahagian bumbung rumah dua tingkat itu dipenuhi asap, malangnya tiada sebarang tindak balas.

“Saya nekad memberanikan diri untuk memasuki rumah sambil melaporkan kejadian kepada balai bomba berhampiran, selepas memasuki ruang tamu rumah saya mendapati terdapat dua remaja tidur dan saya terus mengejutkan mereka.

“Malah saya berusaha mengawal kebakaran dengan mengisi air ke dalam baldi dengan bantuan dua remaja yang juga adik-beradik berusia 14 dan 15 tahun,” katanya yang bekerja di TNB sejak dua tahun.

Mohd Ridzuan berkata, kebakaran hampir dapat dipadamkan namun ruangan itu dipenuhi asap menyebabkannya mengarahkan dua beradik berkenaan keluar dari rumah serta menyelamatkan diri.

Menurutnya, tidak lama kemudian, jentera bomba tiba dan menjalankan operasi memadam kebakaran sepenuhnya.

Dia yang bakal mendirikan rumahtangga bulan depan bersyukur tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Pengalaman menyelamatkan dua beradik dan rumah itu adalah kenangan tidak dapat dilupakan. Saya juga tidak sangka menerima penghargaan daripada JBPM,” katanya selepas menerima sijil penghargaan daripada Pengarah JBPM Johor, Datuk Yahaya Madis sempena Majlis Perbarisan Tahunan 2019 di Ibu Pejabat JBPM Johor di sini, hari ini.

Seramai 11 sijil penghargaan diberikan termasuk kepada pegawai Bomba, penduduk, petugas media dan Bomba sukarelawan.

Wartawan The New Straits Times Press (NSTP), Mary Victoria Dass dan bekas rakan sekerja Allahyarham Abdul Halim Said yang pernah bertugas di cawangan Johor turut menerima sijil penghargaan.

Sumber : Harian Metro

Leave a Reply