Input your search keywords and press Enter.

Piya Kembali Semula ke Kelantan

M Update, 4/2/2019 – Pasukan Liga M3, Kelantan United FC sedia menawarkan jalan keluar kepada Badhri Radzi, jika benar pemain berpengalaman berusia 36 tahun itu nekad mahu meninggalkan Perlis susulan masalah kewangan dihadapi pasukan itu sehingga menyebabkan berlakunya tunggakan gaji.

Sumber terdekat dengan Kelantan United FC berkata meskipun sudah mencapai status veteran dan sudah berada di penghujung karier, bekas kapten Kelantan itu tetap mempunyai aura tersendiri dan pengalamannya diyakini dapat memperkasa perjuangan skuad kendalian Zahasmi Ismail itu.

“Kita ada terbaca mengenai keluhan Piya, sudah tentu ia bukan satu pengakhiran karier yang baik untuk seorang pemain yang telah begitu banyak berjasa. Dia mengharungi detik sukar pada musim lalu bersama Kelantan dan tahun ini pula segalanya seolah seperti tidak kena.

“Kelantan United ketika ini sedang gigih mempersiapkan pasukan, kita mahu memburu tempat ke Liga Premier dan sudah tentunya pengalaman seorang pemain seperti Piya amatlah diperlukan.

“Kita bukan sebuah pasukan besar dan kita juga mungkin tidak boleh menawarkan gaji yang terlalu tinggi. Tetapi saya percaya jika Piya datang ke sini, dia tidak akan terasa asing, Kota Bharu adalah tempatnya dan dia adalah ikon, legenda negeri kita.

“Semua di sini sudah seperti keluarganya juga, dari barisan pemain hingga ke barisan kejurulatihan, semua ada hubungan baik dengannya. Jadi biarlah dia bermain dan noktahkan karier di sini,” ujar sumber tersebut kepada Foxsports.

“Begitupun ini adalah pendapat peribadi saya, tidak mewakili pihak pengurusan mahupun barisan kejurulatihan. Saya percaya pihak pengurusan akan pantau perkembangan, tengok dulu sejauh mana situasi di alik sana dan jika kedua-dua pihak (Kelantan United FC dan Piya) ‘on’, barulah rundingan diadakan,” tambah sumber itu lagi.

Sebagai rekod, Kelantan United sebelum ini dikenali dengan nama Majlis Perbandaran Kota Bharu -Bandaraya Islam-Urusetia Belia dan Sukan (MPKB-Bri-Ubes FC) dan telah bermain di Liga FAM sejak 2016 sebelum dijenamakan semula bagi tahun 2019.

Antara pemain yang memperkuatkan mereka bagi musim baru ini adalah penjaga gol veteran Shahrizan Ismail, bekas tonggak treble Kelantan Daudsu Jamaluddin, Fakhrulzaman Zawawi, pasangan adik beradik Famirul Asyraf dan Faizol Nazlin Sayuti selain Amir Zikri dan Rozaimi Azwar.

Sumber: Fox Sport

Leave a Reply