M Update, 12/2/2019 – KORONER dan pihak berkepentingan dalam inkues kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim melawat jentera Fire Rescue Team (FRT) dan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) yang terbabit dengan kejadian rusuhan berhampiran Kuil Sri Maha Mariamman, di USJ 25, Subang Jaya, November tahun lalu.
Kedua-dua kenderaan itu berada di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya. Koroner Rofiah Mohamad dan pihak berkepentingan hadir ke balai bomba berkenaan jam 12.10 tengah hari dan meluangkan masa hampir 50 minit di situ.
Rofiah dilihat turut menaiki jentera FRT terbabit dan melihat keadaan pintu dan cermin van EMRS. Turut serta Pegawai-pegawai Pengendali, Hamdan Hamzah, Faten Hadni Khairuddin dan Zhafran Rahim Hamzah. Selain itu, pihak berkepentingan termasuk barisan peguam keluarga Muhammad Adib, peguam Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta Majlis Peguam.
Terdahulu, prosiding hari kedua inkues Muhammad Adib, hari ini, diadakan di lokasi kejadian rusuhan berhampiran Kuil Sri Maha Mariamman. Ia bagi mendapat gambaran jelas mengenai kejadian berkenaan. Rofiah dan pihak berkepentingan hadir ke lokasi jam 11.20 pagi dan meluangkan masa hampir kira-kira setengah jam di situ. Prosiding dimulakan dengan saksi kedua, Md Elliza Mohd Noor memberi keterangan di lokasi yang mana kebakaran kereta di tepi jalan berhampiran kuil.
Pemandu FRT BBP Subang Jaya itu turut dilihat memberikan keterangan di satu lokasi berhampiran kuil. Kesemua mereka kemudian menuju ke arah lokasi di mana jentera berkenaan dikatakan berundur. Hampir 50 petugas media turut berada di lokasi kejadian, sejak jam 9 pagi, bagi mengikuti prosiding berkenaan. Prosiding bersambung semula di Mahkamah Koroner di Shah Alam, jam 2.30 petang.
Sumber : HM Online